Tiada deklarasi bersama - Utusan Malaysia

Tiada deklarasi bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT MORESBY, Papua New Guinea (PNG) – Para pemimpin dari 21 negara Asia Pasifik gagal merapatkan jurang perbezaan pada sebuah sidang kemuncak sema­lam yang dibayangi pe­rang mulut antara Amerika Syarikat (AS) dan Chi­na ketika Washing­ton serta Beijing berlumba memperkukuh pe­ngaruh ma­­sing-masing di rantau berke­naan.

Buat kali pertama dalam sejarah Sidang Kemuncak Kerja­sama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), para pemimpin blok berkenaan gagal mengeluarkan de­klarasi bertulis berikutan perbezaan ketara mengenai dasar perdagangan.

“Para pemimpin bersetuju menyerahkan kepada PNG selaku pengerusi sidang kali ini untuk mengeluarkan kenyataan bagi mewakili semua anggota APEC,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Zhang Xiaolong.

Perhimpunan tahunan itu yang julung-julung kalinya diadakan di PNG, dibayangi ucapan Pre­siden China, Xi Jinping dan Naib Presiden AS, Mike Pence yang mahu mengukuhkan pera­nan Bejing dan Washington di rantau Asia Pasifik.

Pence memberi amaran terhadap negara-negara lebih kecil agar tidak terpesona dengan program infrastruktur, Jalur dan Laluan yang menyaksikan Beijing menawarkan wang kepada negara miskin bagi projek pembinaan serta pemba­ngunan.

Pinjaman datang bersama sya­rat ketat yang mengakibatkan negara peminjam dibebani hutang bertimbun, kata Pence, malah beliau mempersenda inisiatif Beijing itu sebagai ‘jalur penjerut’ dan ‘jalan mati’.

Pence sebaliknya menggesa negara-negara dunia supaya ke­kal bersama AS yang tidak ‘melemaskan rakan dagangan kami di dalam lautan hutang’ atau menjejaskan kedaulatan peng­hu­­tang.

Dalam ucapan beliau beberapa minit sebelum Pence, Jinping pula menegaskan bahawa inisiatif China itu bukan ‘satu pe­rangkap’ dan tiada agenda ter­sembunyi.

Jinping juga membidas dasar perlindungan ‘Utamakan Amerika’ dengan menyatakan bahawa ia adalah pandangan singkat dan akan berakhir dengan kegagalan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×