Cara sujud syukur - Utusan Malaysia

Cara sujud syukur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIMANA cara yang afdal dan bacaan untuk sujud syukur? Kadang-kadang kita perhatikan pemain bola bila pasukannya menang, dia bersujud syukur atas padang.

* Rahim, Sepang.

UKE: Berkenaan sujud syukur ini menurut Sheikh Ibnu Utsaimin dalam Fatawa Islamiyyah (1/205) mengatakan: “Sujud Syukur dilakukan kerana selamat daripada sesuatu musibah atau menerima nikmat yang dikurniakan kepada seseorang (tanda terima kasih).”

Ia satu perbuatan yang dilakukan oleh Nabi SAW bersandarkan kepada sebuah hadis:

“Daripada Abu Bakrah ra bahawasanya Nabi SAW apabila telah datang kepadanya suatu urusan yang menyenangkan atau baginda gembira kerana sesuatu, baginda sujud ke tanah sebagai berterima kasih kepada Allah SWT.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi)

Bagi mazhab Syafie dan Hambali, sujud syukur dilakukan dengan adanya wuduk, bersih daripada najis, menutup aurat dan menghadap kiblat.

Ada pula kaifiyatnya seperti niat untuk melakukan sujud syukur, bertakbir seperti takbiratul ihram kemudian bertakbir untuk turun sujud dan membaca bacaan seperti bacaan sujud dalam solat dan membaca tahmid atas nikmat yang diperolehi. Kemudian barulah duduk dan memberi salam tanpa ada bacaan tasyahud.

Namun ada mazhab lain yang menyatakan sujud syukur boleh dilakukan tanpa wuduk atau tidak menghadap kiblat. Apa pun mereka mempunyai hujah atas pegangan masing-masing. Maka kita yang mengamalkan mazhab Syafie di Malaysia lebih tenang rasanya kalau berpegang dengan mazhab Syafie dalam bab ini.

Musafir dan jamak

Katakan kita jamak pada hari Jumaat. Kita keluar rumah ketika azan baru berkumandang. Bolehkah jamak?

* Hayati, Selangor.

UKE: Anda masih berada di dalam rumah anda bermakna anda belum bermusafir tambahan pula sudah masuk waktu dan kedengaran azan pula dari masjid berdekatan maka hendaklah anda menunaikan solat seperti biasa kerana anda berada di dalam kariah anda lagi. Orang yang masih berada di dalam kawasan kariahnya atau kawasan bangunan kariahnya tidak dinamakan musafir.

Ini kerana perjalanan tersebut hanya bermula ketika melepasi dan akan berakhir apabila sampai semula ke kawasan itu. Oleh itu, tidak harus mengqasarkan solat kecuali solat yang wajib atasnya dan melakukannya dalam lingkungan tempoh musafir tersebut. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Anas bin Malik ra yang bermaksud: “Aku menunaikan solat zuhur bersama-sama Nabi SA di Madinah empat rakaat dan solat asar di Zulhulaifah dua rakaat. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Harus diingat Zulhulaifah terletak di luar kawasan Madinah. Hadis di atas menunjukkan Nabi SAW mengqasarkan solat setelah berada di luar kawasan permukiman, iaitu Nabi tidak bersolat musafir ketika masih berada di Madinah.

Kedua: ada perbahasan lain berkenaan musafir pada hari Jumaat. Insya-Allah bab itu kena jawab pada masa yang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×