Tuah calon 'underdog' Cliff Umar - Utusan Malaysia

Tuah calon ‘underdog’ Cliff Umar

TUAH CLIFF Umar dalam GV7 apabila dinobatkan sebagai juara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA siapa dapat meneka, dia mampu muncul sebagai juara sedangkan kewujudan dan aksinya dalam program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) secara puratanya tidak begitu dipandang.

Iyalah, jika dibandingkan dengan populariti Noraniza Idris, Muss, Ayu Damit, hatta Linda Nanuwil sekali pun, nama Cliff Umar seakan tercampak ke belakang memandangkan dia tidak begitu dikenali dalam platform arus perdana dunia hiburan kita.

Malah, jangan terkejut meski dia sudah merangkul gelaran Juara GV7 kelmarin, sehingga sekarang pun masih ada yang tertanya-tanya siapa empunya diri ini?
Tidak kisah dengan apa pandangan orang, vokalis kumpulan Project Pistol ini tetap optimis dan berulang kali menyebut bahawa kemenangannya pada malam Ahad lalu, bukanlah semata-mata kerana dirinya.

Simbolik mahu mendedikasikannya kepada seluruh peserta, tenaga produksi bahkan peminat yang menyokong sepanjang dia berada dalam program realiti itu, Cliff ada luahannya tersendiri.

“Saya mahu semua tahu, sejak dari awal menyertai program ini, sedikit pun saya tidak meletakkan hasrat utama untuk menang.

“Tetapi lebih kepada keinginan untuk meneroka dan pendedahan diri dalam industri. Sekiranya mampu berada di pentas ini cuma sekadar bermain gitar dengan barisan pemuzik, itu pun sudah membuatkan saya sangat gembira.

“Bukan sebab persaingan pun, tetapi lebih kepada peluang untuk bersama-sama dengan barisan artis senior bertaraf legenda yang ada di sini,” katanya.

Bagaimanapun, Cliff tetap melahirkan rasa syukur kerana bakatnya dilihat dan dinilai oleh barisan juri profesional dan itu sudah cukup untuk meyakinkan dirinya bahawa segala usaha tidak mustahil mampu membuahkan hasil.

DUA WANITA DALAM HIDUP

Beralih kepada isu dia dikatakan mempunyai dua isteri sebagai pasangan hidupnya, Cliff sempat tersenyum tatkala soalan ini diajukan.

Katanya, memang benar dia sering menyebut dia memiliki dua isteri, tetapi itu adalah kerana hubungannya dengan bekas isteri pertama adalah sangat akrab meski sudah berpisah empat tahun lalu.

Mahu terus mengekalkan hubungan baik dengan wanita berkenaan sampai bila-bila, Cliff akui dia melakukan perkara tersebut demi kebahagiaan anak-anak mereka.

“Menerusi perkahwinan terdahulu, saya dikurniakan tiga orang anak dan tentunya kami berdua mahukan yang terbaik buat mereka. Mengekalkan hubungan akrab, saya fikir itu satu hubungan yang sihat. Malah, isteri baharu saya juga tiada masalah dengan hal ini selain begitu memahami.

“Itu sudah cukup buat saya kerana yang penting ialah anak-anak kami,” katanya.

Menurut Cliff, selepas berpisah dengan isteri pertama, dia mendirikan rumah tangga dengan isteri kedua setahun kemudian. Menerusi perkahwinan itu, dia dikurniakan seorang lagi cahaya mata.

 

CLIFF mohon maaf atas keterlanjuran perkataannya tentang pelitup muka, kelmarin.

 

KONTROVERSI TIDAK DISENGAJAKAN

Umum yang menonton program GV7 di kaca televisyen menyedari Cliff semasa membuat ucapan sempena kemenangan telah membuat kesilapan yang mengejutkan ramai.

Menyebut ayat berbunyi: “boleh tak saya membuka pelitup muka ini? Ia begitu menjengkelkan, susah untuk saya bercakap”, dianggap sesuatu yang tidak sepatutnya diujar oleh sang Juara apalagi dalam sebuah program besar yang dipancarkan secara langsung itu.

Sekali gus menjadi bahan bualan ramai terutama dalam platform media sosial di Facebok dan Twitter. Cliff menjadi tumpuan kisah negatif dan dianggap belum apa-apa sudah terjebak mencipta kontroversi.

Saat ditanya oleh kelompok media yang hadir, Cliff berkali-kali juga melahirkan kata maaf.

“Faham tak perasaan apabila nama anda disebut sebagai pemenang, sedangkan anda tak pernah menjangkakan langsung peluang untuk bergelar Juara? Semua itu membuatkan adrenalin saya terus mencanak naik.

“Biasanya, saya adalah seorang individu yang akan berfikir sebelum bercakap.Tetapi, malam ketika itu saya sedang berada dalam keadaan terkejut maka terlepas kata seperti itu.

“Saya akui kesalahan itu dan minta maaf sangat-sangat jika ada pihak yang tersinggung dengan ucapan itu,” katanya.

Mengaku tidak berniat untuk membuatkan banyak pihak terasa hati, terutama mereka yang berada di barisan hadapan ketika dunia masih ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19, Cliff ada jawapan sendiri.

“Bukan niat untuk bersikap biadab dengan frontliners, tetapi kebetulan itulah yang saya rasakan.

“Memang agak menjengkelkan apabila kita nak bercakap dan pemakaian pelitup muka jenis itu membuatkan wajah kita berwap dan ia mengganggu pengucapan saya.

“Tidak bermaksud apa-apa, cuma ketika itu sahaja. Saya minta maaf sekali lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Cliff juga menerima komen daripada warganet yang melihat dia seorang yang begitu lekas emosi selain tidak boleh menerima kritikan.

Tidak kecil hati dengan kata-kata itu, Cliff mengaku sebagai seorang artis, tentunya dia memiliki sensitiviti emosi terutama apalagi kerjayanya memerlukan dia menyelami rasa.

“Ya, memang saya beremosi. Saya menulis, buat lagu dan kerja sebagai anak seni tentulah perlu menyelami perasaan orang. Kalau dikaitkan dengan isu ini, diharapkan semua orang dapat memahami bahawa saya juga adalah manusia biasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×