MARAN 4 Nov. –Pasukan bola sepak daerah Jerantut gagal mempertahankan juara Kejohanan Bola Sepak Piala Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang musim 2018 setelah tewas kepada Kuantan FA pada perlawanan akhir di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) Jengka malam semalam.
Kuantan FA menang besar dengan jaringan 5-1 dalam perlawanan akhir yang disaksikan kira-kira 1,500 penyokong kedua-dua pasukan.
Jaringan Kuantan FA dilakukannpenyerang berbisanya, Ammar Anuwar pada minit ke-44 dan 56, Rasaizal Samsuddin (minit ke-45 dan 90) serta Ahmad Nursyahmi pada minit ke-61.
Bagaimanapun, Jerantut lebih dahulu merobek gawang Kuantan FA menerusi jaringan Mohd. Norhafiz pada minit kelima perlawanan.
Selaku juara, Kuantan FA membawa pulang piala pusingan dan piala iringan, medal serta wang tunai RM17,000 manakala Jerantut FA meraih wang tunai RM12,000.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd. Johari Husain.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah.
Pengurus Kuantan FA, Tengku Aziz Tengku Aman Shah berkata, dia teruja kerana skuad itu dapat menewaskan Jerantut yang merupakan juara bertahan kejohanan tersebut.
Katanya, kemenangan tahun ini mengulangi sejarah pasukan Kuantan FA menjuarai kejohanan itu pada 2014.











