KUANTAN 2 Nov. – Sebanyak 2,773 graduan akan menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam istiadat konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 yang dijadualkan berlangsung dua hari bermula 10 November ini di Dewan Kompleks Sukan UMP, Kampus Gambang di sini.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Canselor UMP dijadual berangkat mengurniakan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada graduan sidang pertama.
Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, sebanyak 63 penerima merupakan graduan kedoktoran, 172 orang (sarjana), 221 orang (sarjana eksekutif), 1,713 orang (sarjana muda), 40 orang (dwiijazah), 52 orang (ijazah sarjana muda eksekutif), 270 orang (diploma) dan 242 graduan diploma eksekutif membabitkan sembilan fakulti serta dua pusat pengajian.
“UMP berbesar hati menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan (Elektronik) kepada bekas Pengarah Urusan Motorola Solutions Sdn. Bhd., Dr. Hari Narayanan P. Ondiveeran sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap ketokohan, kewibawaan serta kepemimpinan beliau.
“Kami amat menghargai manfaat besar hasil perkongsian pengalaman profesional dan sumbangan idea beliau sebagai Profesor Adjung di Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) dan peranannya menjayakan CEO@Fakulti Program kelolaan Kementerian Pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Daing Nasir, Hari Narayanan sentiasa menyokong inisiatif wakaf dan endowmen pendidikan di UMP melalui landasan MyGift dan kesungguhan dalam meningkatkan literasi pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk pelajar sekolah.











