KOTA TINGGI 31 Okt. – Johor mengalami lambakan tenaga mahir tempatan walaupun terdapat permintaan dalam pasaran kerja disebabkan tidak dapat beradaptasi dengan teknologi.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat berkata, keadaan tersebut disebabkan pelaburan luar membawa sekali teknologi mereka yang berlainan.
“Industri tidak boleh menggunakan teknologi rendah atau teknologi terlalu tinggi yang mana tiada pekerja diperlukan dalam pasaran. Sesebuah industri bergantung kepada kepakaran kemahiran negara tersebut.
“Sekiranya teknologi yang digunakan terlalu rendah, maka berlakulah lebihan tenaga mahir dalam pasaran. Sekiranya teknologi terlalu tinggi pula akan wujud pula lebihan tenaga pasaran dan tidak dapat memenuhi pasaran pula.
“Di Johor sahaja, keadaan ini sudah berlaku. Pelaburan yang dibawa contohnya menggunakan pelbagai kepakaran dari negara luar. Keadaan ini menggambarkan seolah-olah kepakaran tempatan tidak berkualiti dan tidak diperlukan dalam pasaran industri negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) dengan lapan rakan industri, bertujuan berkongsi kepakaran, kemudahan serta menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan KYPJ setelah tamat pengajian di bangunan KYPJ di sini semalam.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ), Abdul Rashid A. Rahman dan Ketua Eksekutif Kolej YPJ, Shahrim Adon.
Suhaizan berkata, masalah tersebut perlu diatasi dan ketika ini terdapat pihak industri yang menghantar lepasan ijazah ke luar negara sebagai usaha mendapatkan latihan kepakaran untuk mendalami teknologi yang diperlukan.










