Loghat Terengganu ada kelas - Cik Manis - Utusan Malaysia

Loghat Terengganu ada kelas – Cik Manis

MANIS Tan Pei Ching dikenali ramai menerusi video bercakap loghat Terengganu di laman sosial TikTok. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Keunikan loghat Terengganu mendorong seorang wanita anak tempatan berbangsa Cina selesa menggunakan dialek itu dalam urusan hariannya.

Bagi Manis Tan Pei Ching, 32, atau lebih dikenali sebagai Cik Manis, loghat Terengganu bukan sahaja istimewa kerana lain daripada lain, bahkan mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama kaum.

Kefasihannya bercakap dalam loghat itu turut mencuri perhatian ramai menerusi video-video kreatif yang dimuat naik di laman sosial TikTok termasuk nyanyian, ‘mung memang sokmo cute’ yang mendapat 1.2 juta tontonan di samping lebih 81,000 tanda suka dan hampir 3,600 perkongsian.

Ibu kepada seorang anak perempuan berusia lapan tahun itu berkata, idea mengubah lirik lagu ‘Cute’ ke dalam loghat Terengganu tercetus hasil cadangan rakan-rakan dan tidak menyangka mendapat respon positif daripada orang ramai.

“Loghat Terengganu unik kerana penggunaannya dapat menjadikan perbualan malah persahabatan lebih mesra berbanding bertutur dalam bahasa Melayu.

“Antara perkataan kegemaran saya yang digunakan setiap hari ialah ‘bereh boh’, ‘sokmo’ dan ‘kelah’ yang bermaksud hebat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Cik Manis yang merupakan pemilik kedai bunga di daerah ini, loghat itu menjadi bahasa rasminya ketika berkomunikasi dengan 10 pekerja yang kesemuanya Melayu di samping para pelanggan.

Dalam pada itu, katanya, kebanyakan video yang dimuat naik di laman TikTok adalah perkataan harian yang sering digunakannya dan perkongsian tersebut hanya sekadar suka-suka.

“Saya mula membuka akaun TikTok pada Mac lalu sekadar suka-suka untuk berkongsi dengan rakan-rakan kerana banyak masa terluang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya tidak sangka menerima respon positif dan akan terus menghasilkan video loghat Terengganu yang menarik kerana secara tidak langsung dapat mempromosikan negeri ini kepada orang ramai,” katanya yang memiliki 94.7 pengikut TikTok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×