LONDON 24 Okt. – Pengarah Teknikal Formula Satu (F1), Ross Brawn berkata, kesilapan yang sering dilakukan oleh pemandu Ferrari, Sebastian Vettel ‘bukan lagi satu kebetulan’.
Vettel terbabas di awal perlumbaan pada Grand Prix Amerika Syarikat (AS) di Austin kelmarin, namun mujur pendahulu kejuaraan dunia, Lewis Hamilton gagal memenangi saingan dan hanya menghuni tangga ketiga gara-gara kesilapan strategi yang dilakukan pasukan.
Kegagalan Hamilton muncul juara, selain kesilapan Vettel yang menyebabkan dia menduduki tangga keempat menyaksikan penentuan gelaran dunia hanya akan ditentukan pada Grand Prix Mexico, hujung minggu ini.
Rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen menikmati peluang keemasan itu apabila mencipta kemenangan pertamanya sejak 2013.
“Pada Jumaat, berlaku kesilapan kecil. Dia (Vettel) gagal memperlahankan kereta biarpun bendera merah dikibar. Akibatnya, dia dikenakan penalti tiga petak ke belakang.
“Kemudian, pada hari perlumbaan dia sekali lagi melakukan kesilapan. Kali ini berlanggar dengan pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo. Dia terlepas peluang untuk merapatkan jurang dalam perebutan gelaran dunia.
“Saya tidak bermaksud mahu meletakkan kesalahan di bahu Vettel tetapi saya fikir, insiden seperti ini tidak boleh lagi dianggap satu kebetulan, sebaliknya Ferrari perlu melakukan sesuatu jika tidak mahu ia berulang,” kata Brawn.
Vettel, 31, berdepan tekanan hebat kerana gagal merangkul kejuaraan dunia selepas empat tahun bersama Ferrari, namun Brawn percaya peluang pemandu Jerman itu masih cerah cuma ia sukar berlaku musim ini. – AGENSI











