KOTA KINABALU 24 Okt. – Mahkamah Tinggi di sini esok dijangka membuat keputusan sama ada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berjaya mendapat pengisytiharan sebagai Ketua Menteri yang sah dan merampas kembali jawatan itu daripada penyandangnya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Writ saman tersebut yang difailkan Musa pada 17 Mei lalu ke atas Mohd. Shafie dan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin mendakwa pelantikan tersebut adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan.
Berikutan saman itu, pada 5 Jun lalu, Mohd. Shafie telah membuat permohonan untuk membatalkan saman Musa, namun ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini, justeru esok segala persoalan yang timbul akan terjawab.

Sebelum ini, pada 10 Mei lalu, Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga telah mengangkat sumpah jawatan itu selepas menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun tidak sampai 48 jam, Juhar turut melantik Mohd. Shafie ke jawatan sama selepas lima ADUN Barisan Nasional (BN) berpaling tadah dan menyokong beliau.
Pelantikan tersebut menyebabkan senario politik Sabah kurang stabil apabila seolah-olah ada dua Ketua Menteri yang mentadbir memandangkan Perlembagaan negeri menetapkan bahawa Juhar hanya berkuasa untuk melantik bukannya memecat penjawat jawatan itu.
Menurut undang-undang, mana-mana individu yang dilantik sebagai Ketua Menteri dan telah hilang sokongan perlu meletakkan jawatan atau dijatuhkan melalui undi tidak percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri jika masih enggan melepaskan jawatan walaupun telah hilang sokongan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Bersatu Sabah (GBS), Datuk Seri Masidi Manjun ketika ditemui hari ini berkata, sebarang keputusan yang memihak kepada Musa akan mengubah landskap politik negeri, justeru GBS telah bersedia untuk mentadbir.
“Kami sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku, jika keputusan memihak kepada kami maka GBS bersedia sejak semalam lagi,” katanya.











