PPM rampas rokok seludup - Utusan Malaysia

PPM rampas rokok seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 24 Okt. – Pasukan Polis Marin (PPM) melumpuhkan kegiatan penyeludupan dengan merampas 48,400 peket rokok pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM484,908 dalam dua serbuan berasingan di Taman Perindustrian Kota Tinggi dekat sini, kelmarin.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, dalam serbuan bermula pada pukul 9.30 pagi hingga 1 petang, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan dipercayai pengedar rokok seludup dan percaya kesemua rokok itu adalah untuk pasaran tempatan.

“Serbuan pertama di Jalan Taman Kejayaan 1, kita menahan seorang suspek lelaki di tepi jalan kawasan itu dan menemukan 2,500 peket rokok seludup pelbagai jenis bernilai RM23,688 di dalam sebuah kereta Perodua Alza.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Susulan itu, kita menyerbu sebuah setor yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan bahan itu di Jalan Taman Kejayaan 2 dan merampas 45,900 peket rokok dengan nilai RM461,220,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Menurut Khon Chiang, pihaknya turut merampas sebuah van jenis Toyota Hiace dan kesemua rampasan di dua lokasi itu dianggarkan bernilai RM609,908.

Katanya, siasatan lanjut kes itu sedang giat dijalankan termasuk dari negara mana rokok berkenaan diseludup masuk.

“Tangkapan dan rampasan barangan dilakukan mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini