KUALA LUMPUR 24 Okt. – Masalah pencemaran sungai di ibu kota dan aliran utama sungai-sungai dari negeri Selangor masih tidak menampakkan kejayaan usaha kerajaan memulihkan kualiti air melalui projek River of Life (RoL) yang dimulakan sejak 2011.
Selain dicetuskan oleh faktor pembangunan dan pembuangan sisa industri, tabiat orang ramai yang mengambil jalan mudah dengan membuang sampah ke dalam sungai menjadi penghalang utama dalam pemulihan kualiti air.
Kesan yang paling ketara dapat dilihat di Sungai Gombak, Sungai Klang dan Sungai Batu yang dicemari sampah sarap seperti plastik, polisterina, botol, pakaian dan pelbagai bahan buangan domestik, sekali gus menjadikan air sungai keruh dan berkeladak.
Masalah itu diakui sendiri oleh Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad semasa beliau turun padang untuk melihat perubahan kualiti air di Sungai Batu, Gombak baru-baru ini.
Lawatan sempena Hari Sungai Sedunia peringkat Kebangsaan 2018 itu menjelajah empat kawasan melibatkan jajaran Sungai Batu iaitu Taman Negeri Selangor, Empangan Batu, Kampung Nakhoda dan Loji Rawatan Air Sungai Batu.
Sepanjang lawatan ke sungai itu, Khalid meluahkan kekesalannya melihat kualiti air sungai yang semakin tercemar seolah-olah tiada usaha dilakukan untuk mengembalikan kebersihan sungai di negara ini.
“Tinjauan mendapati perubahan kualiti air yang amat ketara bermula dari kawasan hulu sungai di Taman Negeri Selangor dan sepanjang jajaran sungai terutama kawasan berpenempatan.
“Kemerosotan kualiti air ini dikesan berlaku daripada kelas satu kepada kelas tiga,” katanya.
Khalid berkata, setelah tujuh tahun berlalu sejak bermulanya projek RoL, usaha pembersihan sungai oleh kerajaan dilihat seperti tidak memberi impak yang positif kerana sikap masyarakat yang masih tidak berubah.
“Tindakan mereka yang suka membuang sampah sarap, sisa makanan, sisa kilang menyukarkan usaha menukar kualiti air sungai daripada kelas tiga kepada kelas satu,” katanya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan akan memperhebatkan lagi Program Public Outreach (POP) bagi memupuk sikap bertanggungjawab dan kesedaran memelihara alam sekitar.
Projek RoL yang menelan kos melebihi RM4 bilion yang dijangka siap pada 2020 bertujuan menukar wajah dua aliran sungai utama di ibu kota iaitu Sungai Gombak dan Sungai Klang sebagai tebingan sungai yang dinamik dan berdaya huni selain mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.
Sebahagian daripada kerja pembersihan yang dilakukan adalah untuk memulihkan kualiti air sungai berkenaan daripada kelas tiga dan empat yang dikategorikan sebagai tidak selama kepada kelas dua B iaitu selamat untuk sentuhan menjelang 2020.
Pelaksanaan projek berkenaan merangkumi tiga komponen utama iaitu pembersihan, pengindahan dan pembangunan tanah melibatkan lapan batang sungai sejauh 110 kilometer.
Sungai-sungai tersebut ialah Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Jinjang, Sungai Keroh, Sungai Bunus, Sungai Ampang, Sungai Kerayong dan Sungai Klang.











