Benarkan pekerja sertai kesatuan - Utusan Malaysia

Benarkan pekerja sertai kesatuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU perkara yang sering berlaku dalam industri penerbangan adalah ramai dalam kala­ngan pekerja tidak ‘berani’ bersuara kerana risau tindakan disiplin yang akan diambil oleh majikan mereka. Ter­nyata, syarikat ini akan mengambil tindakan disiplin seperti memecat apabila pekerja mengadu kepada Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM).

Tindakan ini sama sekali telah melanggar peraturan dan isu ini harus diperbaiki oleh Kementerian Sumber Manusia. Majikan seharusnya bersikap adil dan profesional serta ­menerima hakikat bahawa pekerja mereka akan dan boleh bersuara jika menghadapi satu isu di tempat kerja. Ini sama sekali tidak boleh dielakkan.

Hari ini, kes-kes yang kami terima amat membimbangkan sekali kerana tindakan disiplin yang diambil oleh sesetengah syarikat penerbangan terhadap pekerja mereka amat agresif sekali. Siapa tidak takut dengan tindakan buang kerja tetapi masanya sudah tiba untuk satu mekanisme ketat diperkenalkan untuk melindungi pekerja yang teraniaya apabila mereka bersuara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Golongan pekerja yang dinafikan pembelaan harus diberikan ruang untuk dibela dan menyertai kesatuan mereka. Ini sudah termaktub dalam Akta Kerja dan Akta Perhubungan Perusahaan tetapi banyak syarikat tidak mengikut undang-undang ini. Kenapa pula hendak disekat dan menghalang pekerja itu?

Kami menerima banyak aduan bahawa ramai pekerja ini diugut dan didesak agar tidak menyertai kesatuan. Tujuan majikan melakukan ini adalah agar mereka senang hendak menukarkan polisi pekerja dan juga menindas kakitangan mereka pada bila-bila masa. Inilah yang kami sebagai kesatuan risau jika masalah tersebut tidak dibendung dengan cepat.

Adakah kerajaan baharu akan memperbetulkan undang-undang dan polisi ini? Kerajaan baharu harus memberi fokus kepada golongan pekerja bukan hanya di sektor kerajaan tetapi juga di setiap syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta. Ini adalah untuk menegakkan keadilan dan memberi hak saksama kepada semua pekerja.

NUFAM amat mengharapkan kerajaan baharu dapat memberi tumpuan kepada masalah pekerja di kelas bawah khususnya dalam industri penerbangan. Ramai antara mereka tertekan dengan kos sara hidup dan masalah berkaitan kenaikan gaji. Syarikat GLC dan swasta harus menghormati hak pekerja dan kesatuan serta mesti menerima hakikat kebebasan untuk berkesatuan.

Satu lagi masalah yang dialami NUFAM adalah syarikat ini menggunakan sekatan melalui tindakan mahkamah yang sememangnya akan melambatkan proses kesatuan untuk mewakili pekerja ini. Ada juga kes berjalan bertahun-tahun lamanya di mahkamah.

NUFAM mempunyai cukup bukti yang menunjukkan berlaku banyak ketidakcekapan sesebuah syarikat itu dalam mengendalikan pekerja mereka. Aduan di tempat kerja yang kami terima menunjukkan ketidakcekapan ini memberi kesan negatif kepada kakitangan termasuk masalah tekanan atau stres di tempat kerja.

Kementerian Sumber Manusia harus memainkan peranan besar untuk menangani masalah tekanan di tempat kerja, isu keselamatan, isu disiplin pembuangan pekerja dan memperbaiki polisi pemulihan pekerjaan.

Yang penting kesatuan tidak disekat untuk memainkan peranan mereka bagi membantu pekerja. Syarikat berkenaan tidak boleh menyekat kebebasan ini selagi kesatuan mempunyai bukti ketidakcekapan majikan dan menerima aduan daripada pekerja tersebut. NUFAM berharap agar polisi lama diperbaiki semula untuk kebaikan masa depan pekerja dan industri penerbangan dalam negara ini.

PENULIS ialah Presiden NUFAM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini