KUALA LUMPUR 21 Okt. – Tidak tahan cuaca panas selain ghairah mahu memenangkan calon pilihan, akhirnya mendorong puluhan ahli PKR Cabang Puchong merempuh masuk ke pusat pengundian pemilihan parti yang diadakan di Seri Kembangan dekat sini, hari ini.
Kekecohan tercetus pada pukul 2.30 petang yang dipercayai bermula apabila ramai pengundi mula hadir dan berasak-asak menunggu giliran untuk memasuki Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) iaitu tempat undian diadakan.
Akibat kecewa kerana perlu menunggu lama dalam pekarangan dewan di bawah cuaca panas terik, membuatkan beberapa daripada ahli mula ‘naik angin’ mendesak proses pengundian dipercepatkan.
Keadaan bertukar ganas apabila mereka mula merempuh pagar masuk ke dalam dewan dan beberapa pengundi terjatuh dan ada yang pitam akibat dipijak.
Kehadiran pasukan unit tempur ringan (LSF) polis membuatkan keadaan kembali terkawal sekali gus membolehkan pemilihan di cabang yang mempunyai kira-kira 17,000 ahli PKR itu dapat diteruskan.
Beberapa lagi insiden berlaku di tempat sama termasuk perang mulut sesama penyokong kedua-dua calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli apabila ada yang mendakwa pihak tertentu cuba melewat-lewatkan penyokong kem Rafizi untuk masuk ke dalam pusat pengundian.
Difahamkan, kelewatan proses pengundian di cabang berkenaan berpunca kerana tablet yang disediakan untuk pengundian elektronik atau e-undi tidak mencukupi berbanding bilangan ahli yang hadir.
Sementara itu, di kubu kuat Mohamed Azmin pula, polis terpaksa campur tangan untuk meleraikan kekecohan yang dipercayai dilakukan oleh salah orang penyokong daripada kem Rafizi Ramli yang mahu memasuki Dewan Seri Siantan, Gombak, iaitu kawasan sedang berlakunya pengundian.
Dalam kejadian itu, lelaki berusia 30-an yang mengikut salah seorang calon dikatakan berkeras untuk memasuki dewan utama pengundian meskipun dihalang oleh petugas atas alasan dia bukan pengundi atau calon.
Tidak puas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh petugas berkenaan, lelaki itu dilihat menengking petugas-petugas di situ sebelum diheret ke pondok polis bergerak berhampiran oleh tiga anggota polis berpakaian preman.











