BARCELONA – Barcelona terpaksa membayar harga yang mahal untuk kembali menerajui carta La Liga hasil kemenangan 4-2 ke atas Sevilla di Stadium Camp Nou awal pagi semalam.
The Catalans sah terlepas khidmat pemenang lima Anugerah Ballon d’Or, Lionel Messi selama tiga minggu selepas ini kerana mengalami kecederaan tangan kanan hingga terpaksa dikeluarkan dalam babak pertama perlawanan tersebut.
Ia menyaksikan gergasi Sepanyol itu perlu mengharungi dua perlawanan getir minggu depan bermula aksi Liga Juara-Juara bertemu Inter Milan dan pertembungan El Clasico menentang seteru utama, Real Madrid tanpa kehadiran bintang sensasi Argentina tersebut.
Bagaimanapun tonggak pertahanan Barcelona, Gerard Pique percaya ketiadaan Messi, 31, sama sekali tidak akan menjejaskan semangat dan prestasi pasukan itu menghadapi dua perlawanan penting tersebut.
“Kami akan lebih kuat jika Messi bermain tetapi tidak semestinya Barcelona secara menjadi lemah tanpa kehadirannya.
“Barcelona masih mempunyai ramai pemain yang mampu mengisi ketiadaan Messi. Kami tidak begitu risau dengan kecederaan dialaminya ini,” katanya.
Messi sempat meledak satu gol pada minit ke-12 sebelum dikeluarkan dalam babak pertama kerana kecederaan tersebut.
Tiga lagi gol skuad bimbingan Ernesto Valverde itu diperoleh menerusi jaringan Philippe Coutinho seawal minit kedua, Luis Suarez (m-63) dan Ivan Rakitic (m-88). – Agensi











