LAWAS 19 Okt. – Polis memberkas 46 individu terdiri daripada rakyat tempatan dan asing kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah dalam operasi serentak di 11 kawasan di bahagian ini semalam.
Antara kesalahan jenayah dilakukan suspek ialah berkaitan kes penyalahgunaan dan pengedaran dadah, pemilikan senjata api serta melanggar peraturan imigresen.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintenden Sahar Abd. Latif berkata, tangkapan melibatkan 33 lelaki dan 29 perempuan itu dijalankan serentak bermula pukul 3 pagi .
“Operasi itu dijalankan sebagai usaha membasmi aktiviti penyalahgunaan dadah di bahagian ini, tetapi turut membawa kepada penangkapan kes jenayah lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemukan syabu seberat 4.49 gram, selaras senapang patah buatan sendiri, sepucuk pistol angin, selaras senapang angin dan enam butir peluru hidup 12 jenis ‘bore’.
Beliau berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan ialah RM1,257.
Katanya, 46 individu yang ditahan didapati terlibat dalam pelbagai kesalahan iaitu membabitkan 56 kes di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Senjata Api 1960, Akta Penagih Dadah 1983 dan Akta Imigresen 1959/1963.
“Sasaran awal operasi adalah terhadap 54 individu yang dikesan menjadi pengedar dadah secara kecil-kecilan di bahagian ini.
“Hasil operasi berkenaan, polis berjaya memutuskan bekalan dadah di bahagian ini untuk sekurang-kurangnya dua minggu susulan tangkapan para pengedar terbabit,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











