KUALA LUMPUR 18 Okt. – “Adakah rakyat Malaysia bermimpi? Itu terpulang kepada rakyat.”
Demikian maklum balas Menteri Kerja Raya, Baru Bian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menjelaskan adakah rakyat Malaysia perlu berhenti mimpi untuk memiliki lebuh raya tanpa tol di negara ini.
Baru Bian bagaimanapun menegaskan, kerajaan tidak akan menghapuskan tol di seluruh negara seperti mana terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan (PH) sehingga kewangan negara dipulihkan.
“Saya ingin katakan sekali lagi, dasar kerajaan ini adalah jelas dan kita tidak akan hapuskan tol sehingga keadaan negara ini dipulihkan dan sampai satu tahap yang sihat.
“Itulah dasar dan keputusan kerajaan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Sementara itu dalam sidang akbar di lobi Parlimen, Baru memberitahu, kajian kebolehlaksanaan perlu dilakukan terlebih dahulu terhadap cadangan kerajaan negeri Johor untuk meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok.
Kata beliau, keputusan sama ada projek yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebelum bersara pada tahun 2003 itu diteruskan atau tidak bergantung pada hasil kajian tersebut.
“Setiap projek kita mesti buat kajian kebolehlaksanaan dan kemudian kita akan meneruskan daripada kajian itu. Sekarang saya fikir kerajaan cuma tunggu untuk memutuskan dan disyorkan,” katanya.











