SEREMBAN 18 Okt. – Seramai enam pelajar termasuk seorang perempuan berusaha turun setinggi kira-kira dua meter dari tingkat empat sebuah rumah pangsa tidak berpenghuni di Lobak dekat sini ketika melarikan diri bagi mengelak ditangkap kerana ponteng sekolah hari ini.
Walaupun perbuatan itu berbahaya, namun kesemua mereka merupakan pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini bertindak nekad turun ke tingkat tiga melalui serambi di bahagian dapur dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi.
Bagaimanapun, mereka gagal berbuat demikian akibat terperangkap di satu unit rumah di tingkat tiga itu yang berkunci dari luar.
Sebanyak lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Seremban dipanggil membantu menyelamatkan pelajar berkenaan menggunakan tangga untuk turun dari rumah tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong berkata, beliau dihubungi penduduk yang mengadu sekumpulan 10 pelajar ponteng sekolah berkumpul di satu unit rumah tidak berpenghuni di tingkat empat rumah tersebut.
Menurut beliau, dua guru sekolah datang tidak lama kemudian untuk menangani masalah itu.
“Saya juga menghubungi polis yang datang tidak lama kemudian. Menyedari kehadiran polis, para pelajar itu cuba melarikan diri.
“Bagaimanapun, enam daripada mereka termasuk seorang pelajar perempuan bertindak turun dari serambi di dapur rumah ke tingkat tiga tetapi mendapati mereka terperangkap di dalam rumah yang berkunci,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Para pelajar itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
Menurut Seh Yong, penduduk di kawasan perumahan itu mengadu unit-unit kosong di rumah pangsa tersebut sering menjadi tumpuan pelajar untuk ponteng sekolah.











