SAUDARA PENGARANG
SEPERTI yang kita sedia maklum, peribahasa melentur buluh biarlah sewaktu rebungnya membawa maksud mendidik anak-anak biarlah ketika usianya masih kecil. Ini sepatutnya diterapkan dalam kalangan generasi muda terhadap tulisan jawi.
Kemahiran tulisan jawi ini mungkin sudah dilupakan dalam kalangan masyarakat hari ini tetapi perlu diingatkan ia menjadi tonggak bahasa masyarakat Islam sejagat.
Saya bersetuju dengan kenyataan Persatuan Melayu Perlis (Pemanis) untuk menghidupkan kembali tulisan ini dengan memulakanya di peringkat prasekolah.
Pendekatan ini lebih efektif kerana kanak-kanak mudah untuk mempelajari tulisan jawi jika ia diajar sejak dari kecil.
Mungkin sudah tiba masanya untuk menjadikan tulisan jawi salah satu sistem tulisan rasmi di Malaysia. Dengan cara ini, tulisan jawi dapat dipelihara.
NOR SUTINI ZAKARIA
Pasir Puteh, Kelantan











