KELAB gergasi England, Manchester United berdepan ujian getir apabila dijadualkan menentang dua pasukan gergasi Eropah pada dua perlawanan berturut-turut dalam tempoh lima hari.
Saingan sukar itu diakui pemain tengah The Red Devils, Juan Mata yang juga bekas pemain Chelsea.
Skuad bimbingan Jose Mourinho itu akan bertandang ke Stamford Bridge menentang The Blues, esok dan menanti kunjungan kelab dari Itali, Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara di Old Trafford awal pagi Rabu.
“Ia adalah aksi yang paling sukar sepanjang bulan ini. Ini kerana kami harus berdepan dengan musuh tradisi yang sangat kuat serta terpaksa pula bertembung dengan Juventus pada hari Rabu,” ujar Mata.
Dalam saingan Liga Perdana England, United menghuni kedudukan kelapan dengan 13 mata setelah menang empat perlawanan dan sekali seri, manakala bagi kempen Liga Juara-Juara, The Red Devils berada di tangga kedua Kumpulan H dengan empat mata, ketinggalan dua mata di belakang Juventus.











