PUTRAJAYA – Pembinaan jambatan ketiga untuk menghubungkan Malaysia dan Singapura wajar dipertimbangkan bagi mempertingkatkan perhubungan dan mengurangkan kesesakan, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar hari ini.
“Saya yakin kerajaan Singapura akan mempertimbangkan perkara ini demi keuntungan jangka panjang bersama kedua-dua buah negara,” katanya sebagai respons kepada minat ramai yang mahu cadangan projek jambatan bengkok dari Malaysia Singapura dihidupkan semula dan menambah kedua-dua negara kini amat memerlukan jambatan ketiga, bengkok ataupun sebaliknya.
Xavier berkata, pada masa ini, mereka yang berulang-alik antara kedua-dua negara setiap hari tahu akan kesusahan yang perlu dilalui mereka yang perlu berbaris panjang dan menunggu lama untuk menyeberangi Tambak Johor dan Link Kedua sedia ada.
“Isu berkenaan masih menghantui para pemandu dengan kesesakan lalu lintas semakin menjadi-jadi terutama pada musim perayaan,” katanya dan menambah, kebanyakan pandangan yang diberikan kepada cadangan jambatan bengkok itu adalah membantah dan negatif.
Idea pembinaan jambatan bengkok itu dicetuskan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada tahun 2003, sejurus sebelum beliau mengakhiri tempoh jawatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun. – Bernama











