Jaga merompak dijel 39 bulan - Utusan Malaysia

Jaga merompak dijel 39 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Seorang pengawal keselamatan diarahkan oleh hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini agar memeluk dan meminta maaf kepada ibunya setelah dia dijatuhi hukuman penjara 39 bulan atas dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan parang terhadap dua lelaki dalam kejadian berasingan, awal tahun ini.

“Selesai sahaja prosiding ini, kamu pergi salam, peluk dan minta maaf dekat mak kamu yang duduk dekat belakang tu (di galeri awam),” pesan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid terhadap N.D. Sulaiman, 31, yang menangis teresak-esak di kandang tertuduh. Ibunya yang duduk di galeri umum turut dilihat menitiskan air mata.

Hakim tersebut turut menasihati Sulaiman yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik itu supaya tidak mengulangi kesilapan sama dan menjadikan hukuman berkenaan sebagai iktibar dan pengajaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Emelia Kaswati menyatakan demikian selepas Sulaiman yang mengaku bersalah pada 11 Oktober lalu meminta mahkamah menangguhkan jatuh hukum sehingga hari ini kerana mahu ibunya mendengar sendiri hukuman tersebut. Ibunya tidak dapat hadir pada prosiding sebelum ini kerana perlu menjaga abang tertuduh yang kemalangan.

Mengikut pertuduhan pertama, Sulaiman bersama rakannya, M. Kaarthi, 25, didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan ke atas pekerja farmasi, Ng Hang Hiong, 52, dengan menggunakan sebilah parang di hadapan sebuah rumah di Jalan Mata Air, Taman Genting, Setapak di sini kira-kira pukul 1.30 pagi, 20 Februari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan perbuatan sama dengan bersenjatakan sebilah parang ke atas pelajar kolej, Hong Kai Yin, 20, dan telah merampas dompet dan telefon bimbit milik mangsa di Jalan Genting Kelang, Setapak, di sini kira-kira pukul 11.15 malam, 24 Mac lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 36 bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara 39 bulan bagi pertuduhan kedua terhadap Sulaiman yang diwakili peguam, S. Dev. selain memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak mulai tarikh tangkap pada 26 Mac lalu.

Kaarthi bagaimanapun masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mahkamah menetapkan 14 November ini untuk sebutan semula kes.








Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini