Deepak saman Najib, Rosmah, tiga lagi tuntut RM52.6 juta - Utusan Malaysia

Deepak saman Najib, Rosmah, tiga lagi tuntut RM52.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Usahawan permaidani, J. Deepak dan adiknya serta syarikat mereka, Radiant Splendour Sdn. Bhd. telah menyaman Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri dan tiga lagi untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM52.6 juta atas dakwaan berkonspirasi melakukan penipuan membabitkan kemudahan pembiayaan lebih RM198 juta.

Radiant Splendour Sdn. Bhd., Deepak dan Rajesh selaku pihak plaintif menamakan Najib, Rosmah; adiknya, Datuk Ahmad Johari Tun Razak; bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Pengerusi Bank Rakyat Bhd., Tan Sri Shukry Mohd. Salleh sebagai defendan pertama hingga kelima.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili pihak plaintif memberitahu pemberita, Hakim S. Nantha Balan pada pengurusan kes hari ini menetapkan 15 November ini bagi mendengar permohonan pihak bank untuk membatalkan saman Deepak dan juga permohonan Deepak untuk membatalkan tuntutan balas bank tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hakim Nantha Balan juga menetapkan selama tujuh hari untuk mendengar perbicaraan kes itu bermula 22 hingga 24 Januari dan 4 hingga 7 Mac tahun depan.

Rosmah dan Najib diwakili peguam David Mathews, Dinesh Baskaran mewakili Johari, Azeez diwakili Prem Kumar manakala Jagjit Kaur bertindak untuk Shukry.

Dalam pernyataan tuntutan bertarikh 12 September lalu yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini, pihak plaintif mendakwa, Najib dan Rosmah adalah dalang kepada satu konspirasi untuk menyediakan kemudahan pembiayaan yang kononnya diberikan kepada Radiant Splendour (plaintif pertama) oleh Bank Rakyat.

Sebagai balasan kepada kemudahan pembiayaan yang kononnya diberikan dan sebagai jaminan berterusan untuk pembayaran tepat pada masanya, pihak plaintif menyatakan, telah memberikan Bank Rakyat hak mutlak penyerahan hak, hak milik dan kepentingan syarikat itu ke atas 80 unit pangsapuri dalam pembangunan dikenali sebagai Kondominium Palazzio Tower B.

Pihak plaintif mendakwa, kemudahan pembiayaan itu sebenarnya telah diberikan kepada Najib dan Rosmah dan pihak plaintif hanya bertindak sebagai proksi kepada pasangan itu.

Defendan keempat pula dakwa pihak plaintif, telah menggelapkan RM35 juta yang sepatutnya diterima oleh plaintif selaku benefisiari daripada pihak insurans, Berjaya Sompo Insurance Bhd. setelah kilang milik mereka terlibat dalam kebakaran.

Defendan pertama selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, dakwa pihak plaintif, telah bertindak di luar batasan serta menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan pihak bank memfailkan pelbagai tuntutan guaman terhadap mereka bagi mengekang khususnya Deepak daripada memberi keterangan lisan semasa perbicaraan kes sivil berhubung pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Tindakan kesemua pihak defendan yang berkonspirasi dan mensabotaj didakwa telah menyebabkan kerugian kepada pihak plaintif.

Sehubungan itu pihak plaintif menuntut setiap defendan membayar ganti rugi am RM10 juta dan juga ganti rugi teladan RM2.6 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini