Penulis bersetuju dengan pandangan seorang menteri supaya media tidak menumpukan kepada perkara remeh-temeh dalam membuat sesuatu laporan, sebaliknya memberi tumpuan utama kepada isu berkaitan rakyat dan negara.
Tetapi kalau mahu media fokus kepada isu utama, jangan membuat kenyataan sesuka hati. Kedudukan sebagai seorang menteri perlu dijaga. Jangan buat tingkah laku yang boleh menyebabkan ia menjadi kecaman orang ramai khususnya dalam laman-laman sosial.
Tidak salah menggunakan laman sosial sebagai perantara untuk berhubung dengan rakyat tetapi janganlah muat naik gambar-gambar yang bukan- bukan sehingga mendedahkan seseorang menteri itu kepada kecaman.
Pada masa sama, menteripun pandai-pandailah sikit memikirkan apa isu yang mahu diperkatakan kepada media. Janganlah mudah sangat mahu menuduh media mensensasikan sesuatu isu.
Justeru cukup-cukuplah menuding jari kepada media, kalau diri sendiri tidak pandai atau masih lagi belajar menjadi menteri, jadikanlah apa yang berlaku sebagai pengajaran.
Bagi penulis, ahli politik yang suka menyalahkan media hakikatnya mempunyai masalah untuk memahami peranan media.
Dahulu mereka juga yang menyatakan media tidak bebas dan dikongkong tetapi sekarang bila mereka yang tersalah cakap atau melakukan sesuatu tindakan, media pula mahu disalahkan.
Lebih menjengkelkan ada pula penyokong mereka kononnya mahu menjadi pembela mempertahankan menteri-menteri pujaannya tanpa usul periksa. Sama ada laporan media salah, disensasikan atau diputar belit turut membuat komen dalam laman sosial membidas media.
Tetapi akhirnya malu sendiri apabila sesuatu kenyataan itu sememangnya dibuat oleh menteri yang menjadi pujaan mereka itu, bukan oleh satu dua media, malah semua media termasuklah portal-portal berita.
Apapun tidak semua menteri yang bersikap ‘cepat melatah’ berhubung sesuatu laporan media. Ada menteri yang cukup matang berhadapan dengan media, biarpun baru lima bulan memegang jawatan tersebut.
Hakikatnya hubungan antara menteri dan media amat penting dalam usaha menyalurkan maklumat kepada rakyat terutamanya dalam perkara berkaitan apa yang sudah dijanjikan dalam pilihan raya umum lalu.
Oleh itu kepada semua menteri, pandai-pandailah membawa diri termasuklah dari segi tutur kata dan tingkah laku. Elaklah menjadi bahan publisiti yang tidak sewajarnya.











