Semakin ramai langgar peraturan - Utusan Malaysia

Semakin ramai langgar peraturan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, SEJAK akhir-akhir ini ramai pengguna jalan raya didapati melanggar peraturan lalulintas. Ini termasuk pemandu lori, bas ekspres, pemandu kereta, penunggang motosikal dan banyak lagi. Juga makin ramai penunggang motosikal yang memberikan khidmat penghantaran makanan serta penghantaran surat, sering melakukan kesalahan jalan raya.

Hampir setiap hari ada sahaja yang melanggar peraturan. Namun disebabkan tiada penguat kuasa di hadapan mata, maka tidak ada tindakan diambil. Saya faham bahawa penguat kuasa tidak dapat berada di sesuatu tempat itu 24 jam.

Banyak kesalahan yang dilakukan itu antaranya melanggar lampu isyarat merah, menunggang atau memandu secara berbahaya, berhenti melebihi garisan ditetapkan dan banyak lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nampaknya, pemandu Malaysia sudah kembali ke sifat ‘jahiliyah’. Apabila ada pemandu bunyikan hon kerana kesalahan dilakukan, orang yang bunyi hon tadi dimarahi. Seolah-olah orang yang melanggar peraturan itu merasakan dirinya lagi betul dan baik. Apa sudah jadi, dunia sudah terbalik ke?

Begitu juga jika ada pemandu yang berhenti di lampu isyarat berwarna merah, nanti akan ada pemandu atau penunggang yang bunyikan hon kerana menyuruh orang di hadapan supaya jalan terus dan jangan berhenti. Seolah-olah orang di belakang itu sebagai ‘penguat kuasa’ yang menyuruh orang di hadapan melakukan kesalahan.

Jika tidak bernasib baik, orang di hadapan itu boleh disaman jika terdapat penguat kuasa ketika itu. Dalam hal ini, takkan pemandu yang disaman itu hendak memberi alasan orang di belakang suruh jalan walaupun lampu isyarat merah.

Saya menggesa polis trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan, pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta penguat kuasa berkaitan agar kerap mengambil tindakan terhadap ‘manusia’ yang suka melanggar peraturan lalulintas.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia ini diingatkan serta didisiplinkan lagi berhubung soal-soal peraturan jalan raya. Jangan biarkan sikap negatif itu menular dan parah kerana kelak makin sukar dibendung.

Juga, sediakan peruntukan tambahan untuk menyediakan kamera litar tertutup bagi merakamkan gelagat pemandu Malaysia. Gambar yang dirakamkan itu nanti bolehlah diambil tindakan tegas dan keluarkan saman. Selagi tiada tindakan tegas, selagi itulah pemandu Malaysia tidak serik dan bermaharajalela.

BARU BELAJAR MEMANDU

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini