CAMERON HIGHLANDS – Tiga pekerja ladang warga Myanmar termasuk sepasang suami isteri maut selepas pondok yang diduduki mereka ditimbus tanah runtuh dalam kejadian di Kampung Tiga, Pos Terisu, Batu 49, Kuala Terla di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, tiga mangsa yang maut ialah pasangan suami isteri Aung Thong dan Naing Vai masing-masing berusia 23 tahun.
Seorang lagi mangsa ialah Mu Aye Aye, 34. Aye Aye merupakan wanita Myanmar dan juga rakan kepada pasangan suami isteri itu.
Dua wanita dan seorang lelaki itu dipercayai mati ketika tidur. Mayat kesemua mereka ditemui bawah tanah dalam pondok tersebut.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian tersebut pada pukul 10.40 pagi.
“Berdasarkan maklumat tersebut, sepasukan 18 anggota polis termasuk dua pegawai dan 10 anggota bomba segera ke tempat kejadian bagi melakukan misi mencari dan menyelamat.
“Tiba di tempat kejadian, dua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh rakan mereka dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 11.30 pagi,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











