Resipi enak di OThai - Utusan Malaysia

Resipi enak di OThai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIARPUN belum sampai setahun beroperasi, namun Restoran OThai yang terletak di Seksyen 11, kini mendapat sambutan hebat dari kalangan penggemar masakan Thai sekitar Shah Alam, Petaling Jaya dan Lembah Kelang.

Menurut pemiliknya Bonma Bao, 54, pada awal beroperasi November tahun lalu, beliau hanya sekadar ‘suka-suka’ sahaja. Namun, apabila melihat pelbagai varian yang disajikan mendapat pujian ramai, beliau kian bersemangat.

“Dulu buka ingat nak syok-syok, nak main-main saja. Lama-lama seronok pula,” cerita Bonma berketurunan Siam yang berasal dari Gurun, Kedah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelbagai varian masakan Thai asli meliputi lebih 200 menu yang mendapat sentuhan kreatif Cef Thong, 47, menambahkan lagi seri serta kemeriahan di Restoran OThai.

Antara menu terlaris di restoran ini ialah hidangan tiga varian ‘tomyam seafood’ yang diadun bersama sotong, udang, hirisan ikan serta cendawan putih.

“Ada tiga variasi tomyam di sini iaitu tomyam merah, putih dan santan. Tomyan santan paling istimewa dengan rasa aroma asli resipi rempah ratus masakan Thai yang secukup rasa, tidak begitu pedas, tetapi cukup masam, manis dan masinnya,” akui Bonma lagi.

Untuk menu makan tengah hari, hidangan ikan siakap goreng ‘kheng som’ bersama terung kecil, bendi, kangkung dan kobis antara sajian terbaik selalu dipesan pelanggannya.

Selain itu, daging yang dima­sak dengan cili kering bersama gajus, dicampur lada bangala, udang putih dengan kerabu mangga, sotong telur masin dan terung goreng antara hidangan lazat yang dihidang bersama nasi putih beras siam wangi.

Bagi minuman pula, air epal asam boi dan ‘coconut shake’ merupakan yang paling popular di restoran ini. Restoran OThai juga menyediakan set makan tengah hari dengan hidangan telur dadar, ayam daun selasih, sup ayam, hirisan timun, air sirap dan nasi putih.

Sebagai pencuci mulut, hidangan manisan asli Thab Thim Grob yang diadun bersama santan dengan campuran sengkuang Cina dan nangka madu menambahkan lagi kepelbagaian menu di Restoran OThai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini