PARIT BUNTAR – Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui terapung di perairan Tanjung Piandang di sini petang semalam.
Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pengkalan Kuala Kurau, Leftenan Komander Mohamad Zainal berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada orang awam pada pukul 5.25 petang.
“Sejurus menerima maklumat tersebut daripada sekumpulan nelayan, sepasukan anggota APMM menaiki bot peronda segera ke lokasi kejadian.
“Anggota menggunakan tali dan jaket keselamatan bagi mengangkat mayat tersebut ke dalam bot,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Mohamad, mayat lelaki tanpa identiti itu kemudiannya dibawa ke Jeti Polis Marin, Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
“Mayat tersebut seterusnya diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Mayat dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk proses bedah siasat,” katanya ringkas. – K! ONLINE











