Agenda bumiputera masih kabur – MTEM - Utusan Malaysia

Agenda bumiputera masih kabur – MTEM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Agenda bumiputera yang sepatutnya menjadi aspek utama pentadbiran negara disifatkan sebagai agak kabur dan tidak jelas dalam era Malaysia baharu pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ahmad Yazid

Kekaburan me­ngenai pendirian kerajaan terhadap kedudukan dan agenda golongan itu sekali gus menimbulkan kegusaran terhadap peme­gang taruh termasuk Komuniti Ekonomi Bumiputera (KEB).

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berharap kerajaan tidak terlalu ‘terganggu’ dengan segala masalah yang melanda negara seperti isu kewangan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kembali memberi tumpuan menguruskan negara bukan sahaja demi masa hadapan bumiputera tetapi juga keseluruhan rakyat.

Walaupun mengakui masih terlalu awal untuk menilai pendirian kerajaan mengenai agenda bumiputera, namun Ahmad Yazid berkata, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sewajarnya bersikap proaktif de­ngan mengambil kira segala pandangan dan kebimbangan rakyat mengenai isu berkenaan.

“Saya merasakan KEB memang berasa sedikit gusar kerana hala tuju bumiputera ketika ini dilihat tidak jelas apatah lagi kerajaan sekarang berada dalam fasa sedikit terganggu disebabkan pelbagai masalah termasuk isu kewangan, politik dalaman dan sebagainya.

“Namun, saya mengharapkan keadaan kembali pulih dan kerajaan dapat memberi tumpuan semula untuk membangunkan keseluruhan sektor ekonomi negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai artikel Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad bertajuk Mengharmonikan Ke­seimbangan Segi Tiga Bumiputera yang disiarkan di Utusan Online, hari ini.

Selain menyentuh kebimbangan KEB mengenai masa hadapan bumiputera, Hasan dalam artikel tersebut turut mengharapkan kesemua ‘segi tiga’ bumiputera merangkumi kepemimpinan institusi politik, pentadbiran agensi kerajaan dan KEB duduk semeja merencana tindakan segera yang boleh diambil bagi me­ngukuhkan golongan berkenaan.

Ahmad Yazid berkata, masa hadapan bumiputera mungkin kembali pulih selepas pembentangan Bajet 2019 iaitu belanjawan pertama di bawah kerajaan baharu pimpinan PH pada 2 November ini.

“Saya merasakan selepas Bajet 2019 dibentang nanti, baharu adil untuk menilai ke mana hala tuju agenda bumiputera di bawah kerajaan baharu ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini