PUTRAJAYA 13 Okt. – Kementerian Pendidikan memutuskan pelaksanaan pemakaian kasut berwarna hitam di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan hanya akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2021.
Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan mengenai perkara terbabit.
Bagaimanapun, katanya, kementerian bersetuju agar pemakaian kasut berwarna hitam dilaksanakan secara beransur-ansur bermula sesi persekolahan 2019 dan diperluaskan penggunaan pada sesi 2020.
“Dalam tempoh transisi itu, murid dan pelajar masih dibenarkan memakai kasut berwarna putih dan pihak sekolah diminta agar tidak mengadakan peraturan atau memaksa murid dan pelajar memakai kasut berwarna hitam.
“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan agar tidak tergesa-gesa menyediakan anak-anak dengan kasut berwarna hitam kerana mereka masih boleh membuat pilihan sehingga 2020,” menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian itu, pihak berkepentingan dalam libat urus itu ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa, guru-guru, murid, pentadbir sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembekal kasut berwarna hitam.
Sebelum ini Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengumumkan mulai tahun hadapan semua pelajar (sekolah kebangsaan dan menengah) tidak lagi perlu memakai kasut berwarna putih sebaliknya ditukar kepada warna hitam.
Maszlee berkata, peraturan baharu tersebut dibuat selepas pihaknya mengambil kira keluhan ibu bapa selain mahu meningkatkan keceriaan murid dan pelajar.
Bagaimanapun, pengumuman menerima reaksi yang pelbagai dalam kalangan masyarakat kerana ada yang berpendapat perubahan tersebut bukan satu keperluan mendesak dan meminta pelaksanaannya ditangguhkan.
Namun, ramai yang menyokong pendekatan baharu itu terutama ibu bapa kerana mereka berpendapat akan memudahkan urusan kerana kasut berwarna hitam tidak mudah kotor.











