ADA dua jenis hukuman mati di bawah undang-undang negara kita. Jenis pertama adalah hukuman mati mandatori, iaitu ditetapkan oleh akta tertentu dan hakim bicara tidak ada pilihan dan budi bicara lagi selain menjatuhkan hukuman mati kepada pesalah setelah dia disabitkan. Contohnya, hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah.
Jenis kedua adalah hukuman mati mengikut budi bicara hakim, iaitu setelah hakim meneliti segala fakta dan hal keadaan sesuatu kes itu – apakah pada pendapatnya tertuduh yang telah disabitkan kesalahannya itu wajar dikenakan hukuman mati dan bukan hukuman yang lebih ringan seperti hukuman penjara seumur hidup.
Di negara kita, hukuman mati dikenakan bagi pelbagai kesalahan (selain pengedaran dadah), antaranya:
- Kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong – seksyen 121 Kanun Keseksaan (seperti kes Al-Maunah);
- Kesalahan dilakukan pada tubuh badan Raja atau Sultan – seksyen 121A Kanun Keseksaan;
- Kesalahan membunuh – seksyen 302 Kanun Keseksaan (kes Mona Fandey);
- Kesalahan menculik (kidnapping) – seksyen 364 Kanun Keseksaan;
- Mengambil tebusan (hostage taking) – seksyen 374A Kanun Keseksaan;
- Rompakan berkumpulan serta membunuh – seksyen 396 Kanun Keseksaan.
Daripada segi pelaksanaan hukuman, pesalah yang dikenakan hukuman mati di negara ini akan digantung sampai mati. Di negara asing, selain hukuman gantung, terdapat beberapa cara lain – iaitu hukuman tembak (firing squad), pancung (seperti di Arab Saudi) atau suntikan maut (lethal injection).
Pada Ogos 2018 lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan seorang perogol bersiri yang dikenali sebagai “Rambo Bentong” (nama sebenarnya Rabidin Satir) yang dikenakan hukuman mati kerana membunuh seorang warga kerja Jabatan Perhutanan Bentong enam tahun lalu. Mengikut laporan media, ini merupakan hukuman mati kali kedua dia dijatuhkan hukuman itu oleh mahkamah. Pertama kali dia dikenakan hukuman mati setelah disabitkan membunuh seorang gadis berusia 17 tahun pada 2009.
Dalam satu kes yang berlaku pada tahun 2016, Mahkamah Tinggi Kuantan telah mengenakan hukuman mati ke atas dua pengikut “Tuhan Harun” (bernama Sumustapha Suradi dan Shamsinar Abdul Halim) kerana membunuh seorang pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Mangsa ditembak di hadapan rumahnya pada 10 November 2013. Ketua ajaran sesat itu, Harun Mat Saat yang mendakwa dirinya sebagai “Tuhan Harun”, juga dituduh bersubahat dalam pembunuhan itu. Walau bagaimanapun, pertuduhan ini akhirnya digugurkan setelah dia meninggal dunia pada 16 Ogos 2016 akibat masalah pernafasan.
Kedua-dua pesalah (Sumustapha dan Shamsinar) kemudian membuat rayuan. Pada 8 Februari 2018 lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengekalkan hukuman mati ke atas mereka. Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata hukuman mati yang dikenakan ke atas mereka adalah wajar dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Dalam kes lain yang menggemparkan negara, Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 8 Jun 2017 telah menjatuhkan hukuman mati ke atas sembilan warga Filipina yang terbabit dalam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu pada tahun 2013, kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Pendakwa Raya supaya hukuman lebih berat dijatuhkan terhadap semua defendan. Sebelum ini kesemua mereka dikenakan hukuman penjara sepanjang hayat setelah disabitkan kesalahan mereka di bawah seksyen 121 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 25 Julai 2016.
Mengikut mahkamah, insiden berdarah di Lahad Datu itu telah menyebabkan sembilan anggota pasukan keselamatan terkorban dan ramai lain cedera manakala penduduk terpaksa hidup dalam huru-hara. Ia adalah satu jenayah yang kejam kerana membabitkan nyawa, harta benda dan kesan trauma yang dialami, dan hukuman mati wajar dikenakan ke atas semua pesalah.
Mengambil kira beberapa kes yang serius seperti disebutkan di atas, saya sedikit hairan kenapa kerajaan merasa perlu pada masa ini bercadang memansuhkan hukuman mati. Khabarnya cadangan ini menerima reaksi rakyat yang berbeza. Mengikut kajian ringkas sebuah akhbar tempatan, lebih ramai yang menentangnya daripada yang setuju.
Referendum
Mengikut maklumat yang tertera dalam portal https://deathpenaltyinfo.org, terdapat 106 negara yang langsung tiada hukuman mati dalam undang-undang mereka bagi semua kesalahan (negara-negara ini dipanggil abolitionists), manakala negara yang masih mengekalkan hukuman mati dalam undang-undang mereka berjumlah 56 sahaja (negara-negara ini dipanggil retentionists). Malaysia tersenarai dalam kelompok negara retentionists ini.
Antara negara yang telah memansuhkan hukuman mati termasuklah Portugal, Denmark, Perancis, Belanda, Argentina, Australia, Kemboja, New Zealand, Itali, Sepanyol, Belgium, Turki, Filipina, dan Uzbekistan. Great Britain memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan membunuh pada tahun 1965, manakala Kenya memansuh hukuman mati bagi kesalahan membunuh pada tahun 2017.
Antara negara yang masih mengekalkan hukuman mati (selain Malaysia) termasuklah Jepun, Kanada, China, Amerika Syarikat, Singapura, India, Pakistan, Iran, Jordan, Jamaica, Thailand, Indonesia, UAE, Arab Saudi, Yemen, Mesir, Vietnam, dan Taiwan.
Hakikatnya tidak ada dua negara yang sama dalam semua hal keadaannya. Beberapa negara di Barat atau Timur memansuhkan hukuman mati dalam undang-undang negara mereka atas sebab-sebab tertentu. Jika kita mahu memansuhkan hukuman mati ini, apakah sebab-sebabnya yang mendorong kita berbuat demikian? Hendaknya kita tidak berbuat demikian semata-mata kerana mahu ikut rentak yang sama seperti negara-negara abolitionist.
Andainya kerajaan serius mahu memansuhkan hukuman mati dalam semua undang-undang negara kita (tanpa ada undang-undang tertentu yang dikecualikan), hendaknya satu proses public engagement dijalankan – misalnya mendengar suara hati rakyat menerusi satu referendum.
Pandangan ahli keluarga mangsa jenayah yang dilakukan oleh pesalah (sama ada yang sudah menjalani hukuman atau masih menunggu dilaksanakan) perlu juga diminta dan diambil kira.
Ada sahabat berpendapat kerajaan akan melalui jalan sukar meluluskan undang-undang baharu memansuhkan hukuman mati ini nanti. Rang undang-undang mengenainya mungkin dihalang di Dewan Negara, yang kini masih dikuasai oleh pembangkang.
Penulis ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara.











