[VIDEO] 'Ya Allah selamatkan mereka' - Wan - Utusan Malaysia

[VIDEO] ‘Ya Allah selamatkan mereka’ – Wan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR 13 Okt. – Julfaezuan Jumain, 27, mangsa yang terselamat dalam kejadian bot karam di Empangan Timah Tasoh di sini, tidak putus-putus berdoa serta melaungkan azan ketika menanti di tebing empangan itu dengan harapan bapa dan sepupunya dapat ditemukan.

Walau bagaimanapun takdir mengatasi segala-galanya apabila kedua-dua mangsa itu iaitu Imran Afiq Ismail,13, dan Jumain Ingan, 60, ditemukan sudah tidak bernyawa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mayat kedua-dua mangsa itu ditemukan kira-kira pukul 6 dan 7 petang tadi oleh pasukan keselamatan yang melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Dalam kejadian kira-kita pukul 3.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah bot untuk menjala ikan di empangan berkenaan sebelum bot tersebut terbalik ketika angin kencang dan hujan lebat.

Julfaezuan yang mesra dipanggil Wan itu namun sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing.

Dalam pada itu, suasana di empangan tersebut sayu dengan ahli keluarga tidak dapat menahan sebak selain terus memujuk Wan yang tidak putus-putus menangis.

Ketika ditemui, Wan menyatakan reda dengan apa yang berlaku.

Difahamkan lokasi kejadian hanya kira-kira 10 meter dari tebing dan kedua-dua mangsa ditemukan tidak jauh dari lokasi itu.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa, Salmah Ismail, 52, berkata, difahamkan Wan membawa keluarga mentuanya yang datang dari Kedah untuk berkelah di kawasan itu.

Katanya, ketika keluarga lain berada di tebing, Wan bersama bapa dan sepupunya itu pergi menjala ikan di empangan yang difahamkan tidak jauh daripada tempat mereka beriadah.

“Tidak sangka kejadian ini berlaku memandangkan bapa Wan selalu menangkap ikan di sini. Kami reda dengan kejadian yang berlaku,” katanya.

Seorang jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3.58 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Mayat salah seorang mangsa yang lemas berusia 20-an berjaya ditemukan kira-kira pukul 6 petang manakala seorang lagi mangsa ditemukan selang satu jam ketika operasi pencarian dilakukan.

“Operasi pencarian mengalami sedikit kesukaran berikutan cuaca tidak menentu di samping hujan lebat kira-kira 15 minit pada peringkat awal. Operasi mencari dilakukan dengan bantuan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini