JOHOR BAHRU – Dua lelaki maut selepas tercampak dari kereta yang dinaiki dalam kemalangan di Lebuhraya Sultan Iskandar, dekat Iskandar Puteri, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Muhamed Razin Basit, 27, dari Taman Perling, dan Anbalagan Anand Babo Tiyagerajen, 31, seorang warga Singapura, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans yang tiba di lokasi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan pada pukul 7.34 pagi itu disebabkan kecuaian pemandu apabila kereta Proton Saga dipandunya dari Gelang Patah menghala ke Perling terbabas hingga melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri.
“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu dan penumpang tercampak keluar dari kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kulai untuk dibedah siasat. – Bernama











