NEW DELHI 13 Okt. – Jumlah kes virus zika telah meningkat kepada 50, menurut Agensi China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa.
“Setakat ini, 50 telah disahkan positif Zika dan kesemua mereka daripada negeri Rajasthan di barat India. Sebilangan mangsa adalah pekerja asing daripada timur India seperti Bihar,” menurut pihak berkuasa.
Sebuah bilik kawalan telah diaktifkan di Pusat Kawalan Penyakit Negara untuk menjalankan pemantauan secara kerap, menurut Kementerian Kesihatan India.
Ini adalah wabak virus ketiga Zika merebak di India sejak Januari 2017.
Penyakit virus Zika disebarkan oleh nyamuk Aedes pada waktu siang. Gejalanya termasuk demam, ruam kulit, konjungtivitis, sakit otot dan sendi dan sakit kepala.
Wabak pertama Zika dilaporkan di India pada Januari 2017 di negeri Gujarat, barat India, manakala wabak kedua dilaporkan di negeri Tamil Nadu di selatan India pada bulan Julai 2017.-BERNAMA











