KUALA LUMPUR 13 Okt. – ‘Dapat gaji RM18,000 hanya dengan main e-sport’.
Ayat ini mungkin kedengaran agak janggal bagi generasi terdahulu namun itulah realiti sebenar yang sedang dinikmati generasi muda hari ini.
Kalau dahulu, permainan video sering dianggap sebagai sesuatu yang membuang masa dan langsung tidak memberi sebarang faedah.
Namun kini, Setiausaha Persatuan Sukan Elektronik Malaysia, Rinie Ramli, 31, menegaskan, e-sport adalah sebuah sukan digital serta perniagaan yang menyeronokkan.
“E-sport mula mendapat perhatian yang serius di Malaysia setelah ada peserta negara kita berjaya mendapat tempat ketiga dunia dalam kejohanan permainan video Defence of The Ancient (DOTA) pada tahun 2013.
“Ketika itu melalui e-sport ini juga, ramai jutawan muda telah dihasilkan dengan cara yang cukup mudah iaitu duduk di hadapan komputer dan atur strategi untuk memenangi permainan,” katanya ketika ditemui Utusan Online.
Rinie yang ditemui dalam acara Hari Sukan Negara 2018 di KL Sport City, Bukit Jalil itu menegaskan, pakar permainan video itu seterusnya boleh mencipta kerja melalui pengajaran semula kepada bakat-bakat baharu sekali gus memantapkan barisan pemain e-sport Malaysia.
“Hal ini kerana untuk sesuatu kejohanan, hadiah yang ditawarkan kadang-kala boleh mencecah RM1,000 hingga RM15,000 dan sudah tentu ia adalah suatu angka yang cukup besar dan berbaloi,” katanya.
Dalam pada itu, seorang anggota tentera, Shamil Sharep, 32, berkata, e-sport adalah satu sukan yang mampu member kepuasan yang tersendiri.
“Ia mengajar kita untuk tidak berputus asa dan memiliki kesabaran yang tinggi selain menajamkan kemahiran dalam setiap aras permainan.
“Misalnya bagi pemain baharu, mereka mungkin pernah gagal sewaktu kali pertama bermain permainan video tersebut namun setelah berulang kali mencubanya, mereka akan faham dan seterusnya dapat menguasai pelbagai permainan dengan baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE











