KUALA TERENGGANU 13 Okt. – Kes penipuan dalam urusan jual beli hartanah di negeri ini makin meningkat dalam keghairahan rakyat membuat pelaburan bagi jaminan masa depan mereka tanpa memahami selok-belok mengenainya dan bersikap ‘ambil mudah’.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, mereka perlu berhati-hati agar tidak mudah terperangkap dan menjadi mangsa sehingga berdepan dengan kerugian yang besar.
“Dalam hal ini, ilmu mengenai urusan hartanah sangat penting. Pihak pihak kami sering mendapat aduan bila mereka membeli hartanah sama ada rumah atau tanah. Kecuaian sering berlaku dari segi meneliti dokumen terutama perjanjian-perjanjian yang ditandatangani.
“Kecuaian menyebabkan mereka terperangkap dan pelaburan ataupun wang yang telah dibelanjakan untuk mendapatkan aset yang ingin dimiliki, hilang begitu sahaja,” ujarnya tanpa menyebut jumlah kes yang berkaitan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam akhbar selepas merasmikan Seminar Cakna Hartanah Terengganu 2018 di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU), di sini hari ini.
Seminar anjuran Falcoedu Education & Tranining itu turut dihadiri Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia, Datuk Nazri Mustafa dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri, Zainal Abidin Mohamed.
Turut serta Ahyat Ishak yang dianggap ikon hartanah di samping ahli panel yang terdiri daripada Redz Idrus, Dzulkifli Jaafar, Marisa Mamat, Firdaus Abdullah, Fariz Mustafa dan Aman Shah.
Seminar tidak bermotifkan keuntungan itu lebih kepada mendidik orang ramai termasuk para usahawan bagi mengetahui hak dan undang-undang berkaitan urusan pembelian serta pelaburan dengan cara yang betul dalam sektor hartanah.
Katanya lagi, rakyat perlu mengambil peluang untuk menambahkan ilmu dalam bidang pemilikan hartanah melalui seminar-seminar yang diadakan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam sektor ini.
“Untuk menceburi bidang ini perlu berani tetapi perlu ingat bahawa berani tanpa ilmu, mudah tertipu, dan yang paling penting kita perlu pastikan kewangan yang dilaburkan tidak lebur begitu sahaja,” ujar Alias. – UTUSAN ONLINE











