JOHOR BAHRU 13 Okt. – Misi kemanusiaan kerajaan negeri ini bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu, Indonesia dijangka berlepas minggu depan.
Pengerusi Jawatankuasan Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahrudin Jamal berkata, surat kebenaran untuk melaksanakan misi itu telah dihantar ke kerajaan Indonesia dan pihaknya masih menunggu pengesahan.
“Kita sedang mendapatkan kebenaran daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kedutaan Indonesia. Kemungkinan kita akan berangkat ke sana minggu depan.
“Kita pergi pun tidak ramai, kemungkinan kira-kura 10 orang termasuk penglibatan sukarelawan belia,” katanya ditemui selepas merasmikan Karnival Tani Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas Jaya di Kompleks Pasar Tani Kekal Permas, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Alwi Anang.
Sahrudin yang akan mengetuai misi itu berkata, kerajaan negeri akan memberi sumbangan sebanyak RM315,000 dan akan diberikan secara tunai.
“Kita fikir untuk barangan agak susah untuk dibawa ke sana. Jadi, peruntukan ini kita berikan secara tunai biar kerajaa di sana tentukan apa yang diperlukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











