NIBONG TEBAL 13 Okt. – Seorang remaja terbunuh selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang sebuah motosikal lain sebelum dia terlanggar belakang sebuah treler di Jalan Paboi dekat sini lewat malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam, Mohamad Luqman Hakim Ya’acob, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Dia yang berasal dari Parit Haji Wahab dekat Bagan Tiang, Perak dari arah Jalan Paboi apabila secara tiba-tiba merempuh motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggangi Muhammad Alif Imran Mohd. Yussof, 20.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintenden Shafee Abdul Samad berkata, kejadian itu menyebabkan Mohamad Luqman Hakim tercampak ke atas jalan manakala motosikalnya terbabas ke laluan bertentangan.
“Mangsa merempuh motosikal yang berada di hadapannya sebelum melanggar belakang sebuah treler dan tercampak ke atas jalan sehingga menyebabkan dia maut di tempat kejadian.
“Muhammad Alif Imran yang berasal dari Taman Kenari dekat Kulim, Kedah mengalami cedera parah kerana patah kaki serta pendarahan dalam perut dan dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Shafee, mayat Mohamad Luqman Hakim juga dihantar ke HSB untuk dibedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











