BUKIT KAYU HITAM – Kerajaan akan mengkaji semula cadangan awal pintu sempadan Malaysia dan Thailand beroperasi 24 jam setiap hari di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini pada 1 Januari 2019.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, kajian semula itu dilakukan selepas kerajaan Thailand dilaporkan masih belum bersedia beroperasi 24 jam setiap hari di ICQS negara itu.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat kerajaan Thailand selepas projek pembinaan ICQS di pintu sempadan negara berkenaan belum siap sepenuhnya.
“Kita (kerajaan Malaysia) perlu lihat kesediaan negara Thailand untuk melaksanakan operasi 24 jam setiap hari di pintu sempadan kerana tidak guna sekiranya kita beroperasi 24 jam setiap hari tetapi di pihak Thailand ditutup.
“Pada masa sekarang, pintu sempadan di kompleks ICQS ini beroperasi seperti biasa selama 18 jam setiap hari sehinggalah kerajaan Thailand bersedia membuka pintu sempadan mereka 24 jam setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bagi meninjau operasi fasa satu Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan fasa kedua kompleks itu yang masih dalam pembinaan di sini sebentar tadi.
Pembinaan keseluruhan projek kompleks ICQS itu menelan belanja kira-kira RM425 juta.
Bekas TImbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 1 Jun 2017 lalu mengumumkan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam ini akan beroperasi 24 jam setiap hari pada 1 Januari 2019.
Mohd. Azis memberitahu, kerajaan Malaysia dan Thailand selepas ini akan mengadakan beberapa rundingan sebelum saling bersetuju ICQS masing-masing beroperasi 24 jam setiap hari.
“Selain pembinaan ICQS di sempadan Thailand belum siap sepenuhnya, kerajaan mereka juga mungkin membuat kajian dari segi kebaikan yang diperoleh daripada pembukaan pintu sempada 24 jam setiap sehari selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, fasa kedua kompleks ICQS itu yang berharga kira-kira RM133 juta itu telah siap 70 peratus iaitu mendahului jadual kemajuan projek sebanyak 10 peratus.
“Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam ini yang akan digunakan hampir 350,000 orang pengguna sebulan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2019,” katanya. – K! ONLINE











