Bibi Ramjani jumpa FAM selesai isu lesen - Utusan Malaysia

Bibi Ramjani jumpa FAM selesai isu lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 13 Okt. – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan bersemuka dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan isu pelesenan pasukan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2019.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, beliau sendiri akan mengetuai delegasi badan itu untuk bertemu dengan FAM pada Isnin ini.

Menurutnya, setakat ini Kafa sedang meneliti syarat-syarat yang perlu dilengkapkan oleh badan induk itu bagi memastikan Kelantan dapat bersaing dalam kancah Liga M 2019.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau peminat gusar, saya lebih daripada itu kerana ia melibatkan nasib pasukan. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Kongres Tahunan Kafa Kali Ke-64, di sini hari ini.

Terdahulu, Kafa sebulat suara melantik Lizawati Abu Bakar mengisi jawatan exco bagi menggantikan Nubli Ab. Latif yang meninggal dunia pada 18 Ogos lalu.

Semalam, FAM dalam satu kenyataan menerusi laman sesawang rasminya menjelaskan pasukan Liga Super 2018 iaitu Kelantan FA telah ditolak permohonan untuk mendapatkan lesen kebangsaan dan Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana gagal menepati kriteria yang ditetapkan.

Untuk makluman, bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018.

Bagi pasukan-pasukan yang gagal, mereka telah pun diberikan surat pemakluman dan masih boleh merayu untuk mendapatkan lesen kelab seperti dinyatakan dalam Artikel 3.4.2 Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 yang mana rayuan mereka dijadualkan akan didengar dalam masa terdekat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini