PH puas hati peratusan pengundi muda setakat pukul 1 petang - Utusan Malaysia

PH puas hati peratusan pengundi muda setakat pukul 1 petang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Pakatan Harapan (PH) mendakwa berpuas hati dengan peratusan pengundi muda yang telah keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Port Dickson setakat pukul 1 petang ini.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, peratusan tersebut diperoleh berdasarkan kajian awal yang dilakukan oleh jentera PH di pusat-pusat mengundi.

“Sebanyak 27.3 peratus pengundi yang keluar mengundi setakat pukul 1 petang ini berusia antara 31 hingga 40 tahun dan 16.8 peratus berusia antara 21 hingga 30 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia jumlah yang memberangsangkan bagi PH. Bagaimanapun usaha sedang dilakukan untuk mengajak lebih ramai keluar mengundi,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH di sini tengah hari ini.

Ahmad Fahmi berkata, kajian awal PH juga mendapati bilangan yang telah keluar mengundi mengikut jantina setakat pukul 1 petang ini terdiri daripada 58 peratus lelaki dan 42 peratus wanita.

Katanya, jumlah pengundi yang telah keluar mengikut kaum pula sebanyak 57 peratus Melayu, 23 peratus Cina, 14 peratus India dan lain-lain kaum enam peratus.

Dalam pada itu, katanya, PH sedang berusaha memastikan lebih ramai pengundi di kawasan kubu kuat PH iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lukut, Chuah dan Sri Tanjung keluar mengundi.

Jelas beliau, peratusan keluar mengundi di kawasan terbabit masih rendah walaupun ia dimenangi oleh PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu.

Sementara itu, maklumat terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sebanyak 44 peratus pengundi berdaftar telah keluar mengundi setakat pukul 2 petang ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini