BUKIT MERTAJAM 13 Okt. – Polis masih mengesan lokasi mayat bayi yang dilahirkan seorang wanita di Kampung Pertama dekat Permatang Pauh pagi semalam ditanam di Tanah Perkuburan Islam Bagan Dalam dekat Butterworth.
Ini kerana operasi menggali kawasan itu masih belum menemukan mayat bayi lelaki terbabit yang didakwa ditanam di kawasan itu oleh teman lelaki wanita itu awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, teman lelaki suspek berjaya ditahan semalam selepas dia menyerah diri di Balai Polis Bukit Mertajam.
Menurutnya, polis kemudiannya membawa pemuda berusia 23 tahun itu ke tanah perkuburan itu malam tadi namun operasi menggali selama hampir dua jam gagal menemukan lokasi mayat bayi itu ditanam.
“Lelaki itu kini ditahan dan pihak polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atasnya bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
“Pada masa sama polis melalui Unit Forensik masih mengesan lokasi mayat bayi lelaki didakwa ditanam oleh suspek, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian awal pagi semalam, wanita berusia 22 tahun itu dipercayai melahirkan bayi lelaki yang dianggarkan berusia lima atau enam bulan itu di sebuah rumah namun bayi malang itu meninggal dunia sebelum suspek membalut mayatnya dengan kain pelikat.
Dia kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya namun doktor yang merawatnya mengesyaki dia menyembunyikan kelahiran kerana terdapat kesan luka bersalin pada rahimnya. – UTUSAN ONLINE











