AWAL bulan lepas saya terlibat dalam penganjuran Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 (KBN2018). Bagi kebanyakan bumiputera yang saya temui beranggapan kongres itu berlalu begitu sahaja tanpa kesan mendalam kepada mereka. Jika yang hadir KDN2018 pun hampa, apatah lagi mereka yang tidak dapat hadir, langsung tidak tahu apa yang dibincangkan.
Minggu ini saya berkesempatan pula menghadiri Khazanah Megatrends Forum 2018 (KMF2018). Naratifnya cukup menarik, ‘On Balance: Recalibrating Market, Firms, Society & People’ atau terjemahannya ‘Keseimbangan: Penyukatan atau penarafan semula pasaran, firma, masyarakat dan insan’.
Selang lima minggu di antara kedua-dua acara itu saya berkesempatan bertemu beberapa orang dari tiga kelompok utama pemegang taruh bumiputera dari institusi politik, pentadbiran agensi kerajaan dan Komuniti Ekonomi Bumiputera (KEB). Setiap satu kelompok pemegang taruh itu menyuarakan nada yang sama dalam tiga perkara ini iaitu pertama, kebimbangan tentang masa depan bumiputera, kedua, perpecahan (disunity) dalam kalangan bumiputera bukan atas perbezaan politik semata-mata dan ketiga, retorik iaitu seolah-olah mereka begitu mengambil berat hal ehwal bumiputera.
Mereka bercakap mengenai kebimbangan, tapi tak jelas apa yang dibimbangkan. Bercakap mengenai perpecahan tanpa bertindak membina perpaduan dan bercakap mengenai masa depan bumiputera tanpa bertindak secara strategik dan terancang merencanakannya.
Selama dua hari saya menghadiri KMF2018, sempatlah juga saya mengikuti beberapa siri pembentangan atau perbincangan tajuk-tajuk yang saya minati termasuk ucapan pembukaan, ucapan semasa makan tengah hari dan ucapan penutup. Beberapa penceramah jemputan dari luar negara turut memaparkan ketidakseimbangan di peringkat global.
Beberapa tokoh tempatan pula menyuarakan ketidakseimbangan domestik yang banyak berpunca daripada krisis tadbir urus negara sebelum ini dan kedudukan hutang negara yang berada pada paras yang mencemaskan. Dalam hati kecil saya bertanya, siapa berani berbicara begini mengenai ketidakseimbangan agenda bumiputera selepas terbitnya fajar era baru politik tanahairku ini.
Secara peribadi saya katakan di sini ketidakseimbangan agenda bumiputera berpunca daripada kekuatan jaringan dan pautan segi tiga bumiputera yang sentiasa terumbang-ambing. Segi tiga yang saya maksudkan itu adalah di antara tiga pemegang taruh utama ini iaitu kepimpinan institusi politik, pentadbiran agensi kerajaan dan KEB.
Pautan segi tiga ini yang sentiasa terumbang-ambing bukanlah perkara baru. Sejak dulu lagi sudah begitu ceritanya. Semua orang tahu tapi semua orang buat-buat tak tahu.
Pernah beberapa pemimpin Melayu sendiri mengulangi beberapa kali tepisan mereka menuding jari kepada KEB akan kedudukan ini dengan menyatakan ‘apa lagi yang bumiputera mahu’. Makin ramai penjawat awam dalam pelbagai agensi dilihat lebih sebagai gate-keepers yang tidak lagi bersemangat dengan agenda bumiputera. Dalam kalangan KEB pula yang terpekik-terlolong adalah dalam kalangan mereka yang boleh diibaratkan berada dalam tongkang pecah. Yang berjaya lebih selesa membawa dirinya dengan haluan sendiri. Jika beginilah tabiat atau kecenderungan ketiga-tiga segi tiga bumiputera itu, masakan mereka mampu menyeimbangkan kedudukan mereka yang terumbang-ambing itu. Pembaca sekalian ada jawapannya.
Dalam keadaan sekarang, pemimpin politik bumiputera akan terus datang dan pergi, mencari produk atau agenda politik untuk menguatkan dirinya menjelang pilihan raya umum akan datang. Mereka akan mengutamakan kedudukan politik dalam arus politik semasa yang menuntut mereka untuk mengutamakan agenda nasional. Orang kerajaan akan berdepan dengan senario kemasukan lebih ramai penjawat awam dalam kalangan bukan bumiputera termasuk penguasaan beberapa jawatan tertinggi dan strategik di peringkat pengurusan dan kepimpinan agensi. Perubahan inai berlaku kerana perangai kiasu beberapa titik nila yang merosakkan sebelanga susu.
Bagi kerabat dalam KEB pula, sudahlah mereka belum cukup berdaya saing, lemah pula dalam berurusan sebagai komponen dalam rantaian nilai bidang bisnes yang mereka ceburi. Berpersatuan pun mereka lemah, lebih gemar atau cenderung mempolitikkan persatuan atau dewan perniagaan yang mereka sertai. Lepas ini pandai-pandailah mereka untuk meluncuri kancah ekonomi yang diterajui swasta.
Saya hanya mampu membayangkan seandainya ada khalifah dalam kalangan bumiputera yang mampu mengharmonikan peranan dan komitmen segi tiga bumiputera ini. Arwah Tun Abdul Razak Hussein berjaya melakukannya dalam era pentadbiran beliau. Zaman itu sudah berlalu. Tun Dr. Mahathir Mahathir mencuba, tapi beliau kesuntukan masa.
Jika demikian keadaannya, wajar kita semua dalam ketiga-tiga kelompok pemegang taruh yang membentuk segi tiga bumiputera bertindak secara sepakat dan sekata bagi mengharmonikan pautannya. Jika di peringkat global sekalipun telah disedari betapa pentingnya membentuk keseimbangan baik dalam ekonomi apatah lagi dalam masyarakat dan dalam jiwa setiap insan, masakan kita bumiputera masih hanya mampu membiarkan pautan segi tiga kita itu terumbang-ambing.
Justeru, era bercakap sesuatu yang retorik sudah berlalu. Penghulu bagi setiap kelompok pemegang taruh segi tiga itu wajib duduk semeja merencana tindakan segera yang wajib mereka ambil secara sepakat untuk mengharmonikan keadaan. Kuat pautan di antara mereka, lebih stabil kedudukan segi tiga itu. Lebih stabil kedudukan bumiputera maka akan lebih stabil negara dalam semua bidang kehidupan.
Soalan berikutnya ialah siapa yang wajar mengambil langkah proaktif memulakan usaha mengharmonikan kedudukan segi tiga ini. Pastinya rakan-rakan kita dalam kepimpinan politik yang memerintah. Dr. Mahathir telah menubuhkan dua kementerian baru yang beliau yakin amat mampu menerajui usaha ini iaitu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pembangunan Keusahawanan.
Walaupun tidak dinyatakan locus standi kedua-dua kementerian ini khusus untuk menjaga agenda bumiputera, mereka pun tahu akan keutamaan yang wajib diberikan. Bagi maksud itu Majlis Perundingan Melayu (MPM) amat bersedia bila-bila masa untuk duduk semeja bersama kedua-dua penghulu ini dan libatkan sama kepimpinan dalam pentadbiran kerajaan untuk dengan segera mengharmonikan keseimbangan segi tiga bumiputera. Bila kedudukan agenda bumiputera seimbang dan stabil, maka akan seimbang dan stabillah negara. Terima kasih KMF2018 kerana memberi saya ilham untuk mencetuskan saranan ini. Bumiputera wajib dengan segera menentu ukur semula peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk memakmurkan diri dan negara.-UTUSAN ONLINE











