SELEPAS lebih lima bulan Pakatan Harapan (PH) Kedah mentadbir negeri ini nama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kembali diselubungi kontroversi dengan isu bahawa jawatannya akan digantikan dengan pemimpin PKR.
Mukhriz tetap ‘cool’. Walaupun khabar mengatakan pemimpin daripada rakan parti sekutunya dalam PH itu bakal menduduki kerusinya di Wisma Darul Aman semakin bertiup kencang.
Zahirnya, Mukhriz seolah-olah tidak terganggu dengan khabar angin terbaharu mengatakan bahawa pemimpin dari parti sekutunya itu sudah mendapat restu daripada pihak istana untuk menggantikan tempatnya.
Tidak dinafikan isu itu kembali panas apabila Ahli Parlimen Sungai Petani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul iaitu nama yang seringkali disebut-sebut untuk menggantikan tempatnya dikatakan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, seminggu yang lepas.
Malah Ahli Parlimen Sungai Petani itu sendiri tidak menafikan perkara tersebut namun mengatakan bahawa pertemuan itu bukan sekadar membincangkan tentang isu Menteri Besar.
Bukan pertama kali desas desus itu bertibaran di Kedah malah seusai Mukhriz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar kali kedua, percaturan tentang jawatan itu sudah mula diperkatakan sekali gus mendatangkan keresahan dalam kalangan mereka yang rapat dengan pemimpin berkenaan.
Itu bukan rahsia.
Ia belum termasuk khabar angin mengatakan tindak tanduk lobi melobi untuk jawatan tersebut yang sudah digerakkan sebaik sahaja Mukhriz kembali ke Seri Mentaloon dan Wisma Darul Aman.
Secara konsensus, Kedah diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) walaupun hakikatnya dalam PRU-14, parti itu hanya meraih lima kerusi DUN berbanding PKR sebanyak lapan kerusi.
Jujurnya, kontroversi yang dimainkan ini tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat Kedah malah boleh diandaikan sekadar mengugat pembangunan negeri ini.
Rakyat Kedah wajar resah andai semua perancangan pembangunan yang dijanjikan dalam Manifesto PH Kedah terbantut gara-gara permainan politik yang berpanjangan ini.
Barangkali apa yang penting ketika ini adalah memberikan kepercayaan kepada Mukhriz untuk mengotakan janji-janjinya untuk rakyat sebelum ini.
Penulis percaya rakyat Kedah mengundi PH kerana Mukhriz, bukan? Bukan kerana Johari.
Apatah lagi, 10 janji-janji yang ditawarkan kerajaan PH Kedah itu masih belum tertunai sepenuhnya terutama berkaitan masalah bekalan air yang masih menghantui rakyat Kedah.
Sesungguhnya masalah bekalan air ini sangat membosankan dan perlu diselesaikan segera oleh Mukhriz.
Sekurang-kurangnya, benarkan beliau menerajui kerajaan ini selama sepenggal bagi membolehkan rakyat menilai prestasinya.
Jujurnya, jika benar tempoh dua setengah tahun sahaja yang diperuntukkan kepadanya untuk memegang jawatan itu, apakah mungkin yang boleh dilakukan oleh Mukhriz?
Sebagai rakyat Kedah, kita berharap tidak akan berlaku sesuatu yang tragis lewat kontroversi yang mampu mencetuskan sekali lagi kemelut Menteri Besar ini.
Apatah lagi, dalam persaingan politik apa sahaja boleh berlaku.-UTUSAN ONLINE











