LUNDU – Polis memberkas tujuh lelaki selepas disyaki terbabit dalam aktiviti dadah dan memiliki senjata api di Kampung Stungkor Baru di sini tengahari semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Superintendan Sahar Abd. Latif berkata, semua suspek berusia 21 hingga 68 tahun itu ditangkap pukul 12.30 tengah hari hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.
Menurutnya, lima lelaki ditahan di ruang tamu dan seorang lagi ditangkap di dalam bilik tidur rumah itu.
“Hasil pemeriksaan menemui beg sandang warna coklat tua yang mengandungi satu penyedut minuman berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 11 gram (g).
“Pemeriksaan lanjut di bilik tidur menemui dua paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 10.60g,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Katanya, lima suspek ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang lagi ditangkap mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama.
Tambah Sahar, semua enam suspek yang ditahan itu positif dadah jenis Methamphetamine dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“Pemeriksaan lanjut pula mendapati, seorang lagi lelaki ditangkap kerana polis menjumpai selaras senapang patah buatan sendiri dan satu bekas plastik berisi peluru yang ditemui di tepi dinding ruang tamu rumah itu.
“Polis kemudian membuat pemeriksaan lanjut dan menemui dua lagi senapang angin yang ditemui di atas katil bilik tidur itu selain menjumpai dua butir peluru belerang, dua kelongsong peluru dan sebutir peluru hidup,” ujarnya.
Jelasnya, dua suspek disiasat mengikut Seksyen 8(a), 8(b) dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960. – K! ONLINE











