PORT DICKSON – Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson melibatkan seramai tujuh calon bertanding bermula pukul 8 pagi tadi.
Seramai 68,317 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka di 32 saluran mengundi hari ini.
Seramai 7,191 pengundi berdaftar melibatkan warga polis dan tentera telah pun mengundi awal, Selasa lalu.
Keputusan PRK Port Dickson dijangka diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum pukul 10 malam ini selepas pengundian tamat pada pukul 5.30 petang.
Calon Pakatan Harapan (PH) ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, 71, manakala calon Pas ialah Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazri Mokhtar, 57.
Sementara lima calon Bebas terdiri daripada Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, 69; Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 33; Stevie Chan Keng Leong, 51: Lau Seck Yen, 51, dan Kan Chee Yuen, 45.
PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan pada 12 September lalu. – K! ONLINE











