Ahli akademik: Contohi Thailand 
laksana lebuh raya tanpa kenakan tol - Utusan Malaysia

Ahli akademik: Contohi Thailand 
laksana lebuh raya tanpa kenakan tol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Kerajaan Pakatan Harapan mampu melaksanakan lebuh raya tanpa tol sama seperti yang dilaksanakan di beberapa buah negara termasuk negara jiran, Thailand.

Pensyarah di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, banyak syarikat pemegang konsesi le­buh raya di negara ini telah pun mendapat pulangan modal dan keuntungan daripada projek pembinaan lebuh raya yang dijalankan termasuk Projek Le­buhraya Utara Selatan (PLUS) yang sudah mencapai tempoh matang.

Malah, katanya, kerajaan juga boleh menjalankan kajian semula terhadap syarikat-syarikat pemegang konsesi berkenaan sama ada perlu menamatkan perkhidmatan kutipan tol mereka atau mempertimbangkan pemberian kontrak penyelenggaraan lebuh raya.

“Kalau negara lain boleh buat tanpa tol, kenapa Malaysia tidak boleh? Ia bukan perkara mustahil. Semuanya kini terpulang kepada kerajaan.

“Di Thailand, ada lebuh raya yang tidak mengenakan tol. Malah, projek kerajaan terdahulu seperti Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan jarak laluan lebih 2,000 kilometer (km) dari Teluk Melano di peng­hujung barat daya Sarawak sehingga ke Serudong di Sabah juga dijalankan tanpa tol,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas ke­nyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Dr. Mahathir mendedahkan, beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Dr. Shazali Abu Mansor berkata, lebuh raya tanpa tol boleh dilaksanakan di negara ini setelah kewangan negara kembali kukuh.

Katanya, pada waktu ini, kerajaan didakwa terhimpit dengan hutang dan bebanan kewangan yang tinggi sehingga menyukarkan pelaksanaan le­buh raya tanpa tol.

“Buat sementara waktu, rasanya kerajaan boleh memikirkan atau mempertimbangkan untuk menghapuskan tol bagi lebuh raya yang terdapat di Lembah Klang untuk me­ngurangkan beban rakyat terutamanya penjawat awam yang berulang alik ke tempat kerja dan ke rumah masing-masing,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×