HARI ini, pengundi-pengundi di Port Dickson sekali lagi berpeluang memilih Ahli Parlimen yang baharu untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat.
Berdasarkan tinjauan yang dijalankan Utusan Malaysia sepanjang dua minggu tempoh berkempen, besar harapan pengundi agar suara mereka diambil perhatian serius dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan konkrit oleh sesiapa sahaja yang bakal memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Apa yang penting bagi mereka adalah komitmen Ahli Parlimen Port Dickson yang baharu untuk menangani isu-isu yang amat dekat dengan mereka seperti kebersihan persekitaran, pengangkutan, peluang pekerjaan dan pembangunan.
Tidak kurang juga dengan komuniti perniagaan khususnya sektor perhotelan yang amat mengharapkan pantai peranginan yang terkenal di negara ini dimajukan agar setaraf dengan Langkawi.
Sesiapa sahaja calon yang menang mesti mengambil kira keperluan dan kehendak penduduk Port Dickson yang sekian lama mendambakan wakil rakyat yang benar-benar memahami apa yang mereka mahu.
Memang timbul sedikit rungutan berhubung dakwaan penyalahgunaan aset dan jentera kerajaan, namun secara keseluruhan, perjalanan PRK Parlimen Port Dickson berjalan lancar tanpa insiden provokasi antara semua pihak yang bertanding.
Suasana tenang sepanjang tempoh berkempen merupakan manifestasi kematangan luar biasa jentera semua parti dan calon-calon yang bertanding dalam menterjemahkan semangat keharmonian dalam berpolitik.
Terserah kepada pengundi di Port Dickson untuk membuat pilihan yang sangat penting dalam menentukan siapakah yang paling layak menjadi wakil mereka.











