IPOH 12 Okt. – Kegiatan sepasang suami isteri yang menjadikan rumah pusaka sebagai lokasi aktiviti pembungkusan dan pengedaran dadah terbongkar apabila ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Changkat Jering dekat Taiping, kelmarin.
Kedua-dua suspek berusia 51 dan 54 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada pukul 2 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner V.R. Ravi Chandran berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya menjumpai heroin seberat 2,930 gram, 2,105 gram ganja dan 550 gram syabu.
Menurutnya, turut dirampas ialah peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah tersebut dalam peket kecil.
“Ketika serbuan dilakukan, suami isteri itu berada di ruang tamu rumah dan pemeriksaan di kediaman tersebut menemukan pelbagai jenis dadah seberat 5.6 kilogram dengan anggaran nilai RM269,250.
“Semakan mendapati, mereka mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah dan ujian saringan air kencing dilakukan juga positif ganja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Menurut Ravi Chandran, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Axia dianggarkan bernilai RM25,000.
Ujarnya, pemerhatian terhadap kedua-dua suspek dijalankan sejak dua bulan lalu dan siasatan akan dilakukan bagi mengetahui tempoh mereka aktif melakukan kegiatan tersebut.
“Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri ini dipercayai mengedarkan bahan terlarang tersebut di sekitar Taiping dan kedua-duanya direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.











