Tunai janji, kasihani rakyat - Utusan Malaysia

Tunai janji, kasihani rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini penulis pulang ke Kedah – kali pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ketika berbual-bual dengan orang kampung, dari anak muda berusia 20-an hinggalah warga emas, sudah tentulah topik politik tidak terlepas diperkatakan.

Pelbagai pandangan mereka lontarkan termasuklah situasi di Kedah yang turut terkena tempias tsunami politik yang meranapkan penguasaan Barisan Nasional (BN).

Tetapi dalam banyak-banyak yang diperbualkan, penulis tertarik dengan topik ke manakah negara ini mahu dibawa dan apakah kesudahannya nasib rakyat termasuklah majoriti yang membuat keputusan beralih angin dengan harapan keadaan rakyat dan negara menjadi lebih baik?

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun melalui raut wajah dan nada suara yang dilontarkan ternyata kekecewaan melumuri mereka dengan suasana politik semasa. Mereka tidak nampak ke mana negara ini mahu dibawa. Kata mereka, apa yang sering dihidangkan biarpun sudah hampir lima bulan berada di bawah kerajaan baharu adalah ‘dosa-dosa’ kerajaan terdahulu.

Manifesto yang sebelum ini menjadi madu paling manis sehingga mampu menembusi lubuk hati majoriti rakyat memilih kerajaan sedia ada, akhirnya diketahui bagaikan ‘hempedu’ yang amat pahit.

Ketika pemimpin-pemimpin negara lebih leka untuk mendedahkan keburukan kerajaan terdahulu dihiasi pula dengan tindakan tidak selari dengan janji-janji dalam manifesto, rakyat di peringkat akar umbi semakin resah.

Alasan manifesto dibuat atas andaian tidak menyangka akan menang seolah-olah membuktikan sasaran pembangkang sebelum PRU-14 lalu ialah ‘jatuhkan BN dulu, selebihnya fikir kemudian.’ Ia juga sekali gus menjejaskan imej kerajaan sehingga ada yang menganggap kerajaan hari ini ditubuhkan ‘hasil penipuan dan pembohongan’.

Rakyat terpedaya dengan janji-janji dalam manifesto dan ia ditambah pula dengan pelbagai isu yang melingkari kerajaan pada masa itu,maka ia menjadi ‘taufan sempurna’ bagi menentukan keputusan rakyat.

“Sebelum pilihan raya macam-macam depa (mereka) cakap, macam-macam janji depa buat, tapi ‘last-last’ (akhirnya) apa pun tak dak (tak ada),” kata seorang saudara penulis.

Saudara penulis ini patut berasa kecewa kerana sebelum pilihan raya, dia paling hebat mempromosikan perubahan kerajaan dengan alasan demi rakyat terbanyak (akar umbi). Sekarang penulis hanya tersenyum.

Sebenarnya banyak lagi pandangan yang menunjukkan di peringkat akar umbi khususnya orang Melayu perasaan tidak puas hati semakin membuak-buak, tetapi mereka sudah tidak boleh berbuat apa-apa, mereka hanya diberi kuasa untuk menentukan kerajaan, lima tahun sekali – oleh itu bak kata orang buat masa ini ‘hadam sahajalah’ apa yang dilalui.

Bagaimanapun, ini tidak bermaksud kerajaan boleh bersenang lenang dan merasakan rakyat sudah menerima alasan-alasan mereka kenapakah manifesto tidak dapat dilaksanakan. Ini memandangkan seperti mana kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim di Port Dickson, Rabu lalu, manifesto adalah satu tanggungjawab kepada pengundi dan tidak boleh sewenang-wenangnya diketepikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Tegas ahli politik veteran tersebut, manifesto adalah asas yang membantu pengundi membuat pilihan dalam sesuatu pilihan raya. Oleh itu, jika sebahagian besar daripada manifesto itu tidak menjadi kenyataan maka kerajaan PH akan menerima kritikan rakyat.

Berdasarkan hujah itu, kerajaan tidak boleh menganggap kegagalan menunaikan manifesto adalah satu perkara biasa. Apa akan berlaku kepada negara jika semua yang bertanding dalam pilihan raya membentangkan manifesto sekadar ‘untuk menipu’ rakyat bagi meraih undi.

Jika parti-parti dalam Pakatan Harapan tidak mahu dianggap berada dalam kedudukan tersebut, tunaikanlah segala janji yang termaktub dalam manifesto. Kalau hakikatnya memang tidak boleh buat, cakap sahaja secara terbuka tidak boleh buat dan mohon maaf kepada seluruh pengundi yang telah diperdaya.

Hakikatnya, kerajaan masih boleh ‘menebus dosa’ kerana memungkiri janji itu dengan syarat benar-benar menumpukan perhatian bagi menyusun agenda bagi membangunkan negara dan rakyat.

Tidak payah lagi menghabiskan masa di mana sahaja untuk bercakap soal kerajaan terdahulu. Rakyat sudah muak dan bosan. Kos sara hidup yang dulunya dijanjikan akan mampu diturunkan, tidak juga turun, jumlah mereka yang kehilangan kerja semakin meningkat manakala hala tuju negara entah ke mana.

Kasihanlah rakyat marhaen yang amat bergantung kepada kerajaan untuk kehidupan lebih baik. Majoritinya tidak tahu politik, apa yang mereka tahu bila ada kelompok atau parti politik yang berjanji mensejahterakan hidup – itulah mereka pilih.

Justeru penulis percaya dengan bantuan ahli-ahli politik hebat dan penasihat-penasihat kerajaan paling bijak, tidak sukar untuk kerajaan mengatur segala program dan perancangan bagi membangunkan negara. Walaupun setakat ini kita lihat lebih banyak kenyataan berunsur atau bermotif politik waima dalam bab ekonomi serta kewangan sekalipun, tetapi tidak mengapalah.

Kelemahan itu boleh diperbaiki dari semasa ke semasa yang penting rakyat sedang melihat dan menanti. Oleh itu, bekerjalah seperti mana janji yang cukup popular ketika musim pilihan raya lalu iaitu demi selamatkan negara. Setakat ini penulis tidak nampak apa yang diselamatkan. Yang ketara rakyat semakin ‘tidak selamat’ bahana terpedaya dengan manifesto yang sudah ‘diisytihar’ bukan kitab suci yang wajib dilaksanakan. Hebat!

Alasan manifesto dibuat atas andaian tidak menyangka akan menang seolah-olah membuktikan sasaran pembangkang sebelum PRU-14 lalu ialah ‘jatuhkan BN dulu, selebihnya fikir kemudian.’ Ia juga sekali gus menjejaskan imej kerajaan sehingga ada yang menganggap kerajaan hari ini ditubuhkan ‘hasil penipuan dan pembohongan’.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini