SAUDARA PENGARANG,
Adakah dunia sedang menuju kehancuran? Apabila direnungkan sedalam-dalamnya, pelbagai peristiwa aneh yang berlaku di sekeliling kita seolah-olah Allah memberikan peringkatan demi peringkatan sebelum datang kiamat sebagaimana yang telah dijanjikan dan disebutkan di dalam al-Quran.
Setelah tsunami di Aceh, India, Sri Langka, Thailand, Jepun dan Malaysia sendiri pada tahun 2004 yang mengorbankan hampir setengah juta manusia dan sering berlakunya gempa bumi yang dahsyat selepas itu serta banjir besar, telah menjadikan penghuni alam dunia merasa panik. Terkini apa yang berlaku di Palu,Sulawasi.
Gempa bumi berukuran 7.5 Richter yang memusnahkan rumah kediaman dan menghanyutkannya sekali dengan dilanda tsunami begitu menyayatkan hati kerana ia berlaku secara tiba-tiba.
Dianggarkan lebih seribu orang terkorban dan dikhuatiri lebih daripada 5,000 orang masih lagi hilang terutama sekali di beberapa buah kampung yang dikatakan telah tenggelam dan ditelan bumi. Dikatakan juga tempat berlakunya perkampungan yang tenggelam itu sukar untuk pasukan penyelamat menghantar bantuan.
Semua yang berlaku amat mengerikan. Apabila berlakunya gempa bumi dan tsunami berkenaan maka teringat kita akan cerita di dalam al-Quran di mana kaum Nabi Luth yang suka melakukan hubungan sejenis antara mereka telah dimurkai Allah lalu ditimpakan bencana yang amat dahsyat sekali.
Seluruh kota diterbalikkan oleh bumi yang menelankan penduduk kota tersebut dan kesannya adalah di Laut Mati atau apa yang disebutkan sebagai tasik air masin yang terletak antara sempadan Jordan dan Israel. Tasik itu dikatakan tiada hidupan yang boleh hidup di dalam airnya serta kapal-kapal tidak boleh belayar di atasnya.
Dalam situasi seperti di Palu, janganlah kita terus menghukum dan menuduh penduduk yang malang itu dengan andaian yang negatif seperti dikatakan berlakunya maksiat terlampau di kawasan yang dilanda musibah tersebut. Ini kerana bukan urusan kita untuk buat andaian tetapi biarlah Allah sahaja yang menilaikannya.
Yang pasti kita kena bersangka baik dan simpati serta cuba membantu sedaya yang termampu untuk mangsa-mangsa tsunami dan gempa bumi ini.
Dunia Islam akui bahawa apa yang sedang berlaku ada kaitannya dengan apa yang akan terjadi sebelum berlakunya kemusnahan dunia secara total iaitu kiamat.
Kita perlu ambil ikhtibar sebagai persediaan apa yang berlaku sekarang ini dan apa yang akan menyusul selepas ini.
HAMBA KERDIL
Negeri Sembilan











